
TERTARIK: Awang Tengah (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain melihat kayu balak yang diletakkan di pekarangan Wisma Sumber Alam, Kuching pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran PUSAKA semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Hashim, Julaihi, Sarudu, Sudarsono dan Nansian. — Gambar Jeffery Mostapa
KUCHING: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden kerana mahu mempertahankan ‘status quo’ parti itu.
Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden PBB disandang oleh Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang merupakan Menteri Perumahan dan Pelancongan.
“Tak, saya telahpun menyatakan pendirian saya. Secara peribadi saya lebih suka keadaan ‘status quo’ ini dapat dipertahankan.
“Dan saya percaya, ia juga pendirian semua ahli serta penyokong parti. Kita mahu Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) kekal memimpin parti dan kerajaan.
“Mempertahankan keadaan sedia ada (dalam parti) sangat penting bagi memastikan adanya kesinambungan dari segi kepimpinan dalam parti.
“Dan, parti akan terus menjadi peneraju dalam usaha kita meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, menjaga kepentingan negeri dari aspek keselamatan dan pembangunannya,” ujarnya kepada pemberita semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di pekarangan Wisma Sumber Alam di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Muda Pelaburan dan Promosi Julaihi Narawi, Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman, Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai dan Timbalannya Hashim Bojet serta Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Ali Yusop.
Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, pencapaian PBB pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 dan terbaharu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyaksikan kesemua calonnya memperolehi kemenangan dengan majoriti besar.
“Pada PRU13, PBB ber-tanding di 14 daripada 31 kerusi Parlimen, kita memperoleh kemenangan 100 peratus dengan jumlah majoriti begitu besar.
“Di Mukah misalnya, calon DAP yang melawan calon kita hilang wang pertaruhan, begitu juga calon PAS yang menentang calon kita di Tanjung Manis dan Ketua PKR negeri kalah kepada calon kita di Limbang.
“Bagi saya dan juga ahli, keputusan pilihan raya-pilihan raya ini adalah satu pengiktirafan kepada kepim-pinan parti diterajui oleh Ke-tua Menteri.
“Dan, kita mahu kejayaan barisan kepimpinan parti ini akan dapat terus dipertahankan,” tambahnya yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Kemajuan Industri.
PBB dijadual mengadakan Konvensyen Ke-13 dari 18 hingga 20 Oktober di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas majlis tersebut, Awang Tengah berkata nilai eksport kayu dan produk kayu Sarawak mencatatkan penurunan kira-kira 2.6 peratus untuk tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun tahun ini.
Menurut beliau, Sarawak mengeksport kayu dan produk kayu bernilai RM3.6 bilion untuk tempoh tersebut, berbanding RM3.7 bilion bagi tempoh sama tahun 2012.
Penurunan nilai eksport itu banyak didorong oleh kelembapan ekonomi negara-negara pengeksport utama seperti Korea, Jepun, Myanmar, India, Thailand dan Filipina selain pergolakan politik di beberapa negara di Timur Tengah, jelasnya.
“Daripada nilai eksport tahun ini, balak menyumbang RM799.1 juta dengan jumlah isi padu 1.37 juta meter padu, papan lapis RM1.2 bilion dengan jumlah isi padu 1.4 juta meter padu dan venir RM115.7 juta (101.5 juta meter padu).
“Yang lain termasuk kayu bergergaji RM328 juta (373.3 juta meter padu), kayu kumai (RM7.5 juta), kayu penetap (RM1.6 juta), papan gentian (RM129.7 juta), papan blok (RM51,000), papan serpai (RM30 juta) dan produk-produk lain (RM51.8 juta),” katanya.
Awang Tengah bagaimanapun yakin nilai eksport itu akan dapat dipulihkan sekurang-kurangnya sama dengan nilai tahun lepas iaitu RM7.5 bilion menjelang hujung tahun ini.
Bagi mencapai jumlah jualan itu, katanya, Sarawak menerusi PUSAKA dan beberapa agensi lain akan terus berusaha memperkukuhkan pasaran eksport bukan hanya dengan negara-negara pengeksport tradisional, tetapi cuba menerokai pasaran Timur Tengah dan Asia Tengah.
“Kita akan terus berusaha untuk mengadakan misi perdagangan ke luar negara dan kita hendak memberi tumpuan kepada pasaran tradisional antaranya Jepun, Korea, India dan Thailand serta pasaran baharu di negara-negara Timur Tengah dan Asia Tengah khususnya Kazakhstan.
“Bagaimanapun, kita perlu melihat dahulu masalah yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah yang masih bergolak. Sebelum ini, permintaan amat menggalakkan. Kita terpaksa menangguhkan misi perdagangan ke Yaman kerana keadaan tidak begitu mengizinkan,” jelasnya.
Selain itu, katanya, satu misi perdagangan akan diadakan ke Kazakhstan tahun depan selepas negara itu menyatakan minatnya terhadap kayu dan produk kayu termasuk perabot keluaran Sarawak semasa pertemuan di antara beliau dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan Perdana Menteri negara itu baru-baru ini.
Pada sidang media itu, Awang Tengah turut memaklumkan PUSAKA telah mengemas kini sistem dan proses memohon permit eksport kayu dan produk kayu yang membolehkan permohonan dilakukan secara atas talian.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memudahkan usahawan tempatan memohon permit, tetapi juga membolehkan PUSAKA melakukan pemeriksaan secara atas talian.
“Penambahbaikan ini suatu yang amat diharapkan dan baik sekali kerana ia bertujuan meningkatkan kecekapan proses penyampaian perkhidmatan PUSAKA dan memudahkan klien-klien berurusan dengan PUSAKA,” katanya.