SRI AMAN: Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan pameran yang memaparkan sejarah pembangunan Sri Aman sempena Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia 2013 di Dewan Suarah Sri Aman.
Pameran itu dibuka kepada orang ramai mulai jam 8 pagi hingga 5 petang selama 10 hari bermula hari ini (28 Ogos).
Jurucakap penganjur berkata, sebanyak 13 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pameran tersebut.
Pameran itu diadakan dalam tiga fasa iaitu Sri Aman Zaman Mensia, Sri Aman Selepas Kemerdekaan dan Sri Aman Mansang Maju.
Pameran 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Sri Aman 2013 dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis kelmarin.
Menurutnya, fasa pertama menceritakan secara ringkas kisah silam bahagian Sri Aman iaitu bermula daripada zaman Brooke hingga ke zaman kemerdekaan Sarawak.
Fasa kedua, Sri Aman Selepas Kemerdekaan mempamerkan pencapaian tokoh pada era kemerdekaan dari bahagian Sri Aman.
Manakala fasa ketiga iaitu Sri Aman Mansang Maju memaparkan bahagian Sri Aman yang akan menjadi hab pertanian dan makanan utama iaitu jelapang padi, agropolitan Batang Lupar dan pertanian komersil.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terutama golongan belia tidak melepaskan peluang untuk mendalami kisah sejarah perkembangan dan pembangunan di kawasan Sri Aman.