SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat berkata selaras dengan pembangunan pesat melanda pada masa kini, kerajaan terus berusaha membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat negeri ini, khasnya penduduk di luar bandar.
Menurutnya, usaha tersebut dapat dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang telah, sedang dan akan giat dilaksanakan oleh kerajaan untuk manfaat dan kesenangan rakyat.
Bagaimanapun katanya, usaha pembangunan kerajaan sukar dicapai dengan berkesan sekiranya rakyat tidak memanfaatkan sepenuhnya segala peluang dan kemudahan pembangunan yang disediakan.
“Keadaan ini sudah tentu merugikan kita semua dan boleh membantutkan kelicinan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya 2013, 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Pakit di sini semalam.
Katanya, rakyat tidak boleh lagi bersikap berpeluk tubuh dan hanya mengharapkan segala bantuan dan subsidi daripada kerajaan.
Sebaliknya, kita perlu berdikari, mempunyai inisiatif dan merebut segala peluang yang disediakan dalam sektor perindustrian, perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perladangan, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.
Dalam konteks ini, kita harus berupaya memahami dan menerima perubahan serta idea-idea baharu dengan mengubah cara berfikir dan bekerja supaya kita tidak tercicir daripada arus pembangunan.
“Ini memandangkan kita harus mempersiap diri dengan pengetahuan kemahiran yang mencukupi mulai sekarang ke arah merealisasikan wawasan negara menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.
Masir berkata, dalam menghadapi era globalisasi ledakan ICT, usaha meningkatkan komunikasi pembangunan menjadi semakin penting dengan munculnya kehendak untuk membina masyarakat berilmu dan berinformasi.
Hadir sama Pegawai Memerintah 13 RAMD Kem Pakit Sri Aman Leftenan Kolonel Zamsari Abu Hasan, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang serta pegawai-pegawai kanan 13 RAMD.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu Hari Raya.