MUKAH: Sarawak sedang melalui pembangunan pesat dari segi sosioekonomi yang menyaksikan perubahan positif dari segi proses urbanisasi dan pembangunan infrastrukturnya, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, Mukah yang bakal dikenali sebagai ‘Smart City’ atau Bandar Raya Bestari menjelang 2020 akan menjadi nadi kepada pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Ini akan memfokuskan kepada bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang amat penting kepada industri-industri di bawah SCORE.
“Ekoran ini, permintaan ke atas modal insan juga berkembang terutamanya untuk tenaga kerja mahir dan separuh mahir dengan wujudnya pelan pembangunan negeri seperti SCORE. Pelbagai jenis industri utama dan industri hiliran dijangka akan menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk masyarakat Mukah.
“Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat setempat khususnya golongan belia untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk bersaing dengan belia yang lain,” katanya pada majlis perasmian Program Jejak Aspirasi Belia di SMK Oya, Dalat pagi semalam.
Sementara itu, Fatimah menjelaskan di negara yang berstatus maju, proses pembangunan berlaku dengan giat dengan kemahiran serta pengkhususan dalam bidang teknikal menjadi keutamaan.
“Maka, masyarakat kita perlu mengubah persepsi terhadap bidang-bidang teknikal yang berpotensi untuk menjana pendapatan lumayan pada masa hadapan.
“Bahagian Mukah yang menjadi hab pendidikan sudah memperlihatkan banyak institusi pendidikan tempatan seperti Politeknik Mukah, Institusi Kemahiran MARA, Kolej Komuniti dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) menawarkan pelbagai kursus dalam program bidang teknikal,” katanya.
Selain itu, Fatimah berkata dalam mengejar kemajuan, masyarakat juga perlu memastikan pembangunan masyarakat seimbang dengan proses pembangunan negeri.
“Saya percaya dengan penganjuran program seperti ini, ia dapat dijadikan landasan untuk agensi kerajaan berkomunikasi dan menyebarkan maklumat pembangunan dengan masyarakat tempatan.
“Landasan seperti ini juga dapat memberi peluang kepada para belia untuk berkongsi idea dengan agensi yang relevan mahupun memainkan peranan dalam pembuatan dasar-dasar supaya mereka menjadi lebih berminat untuk menyertai aktiviti-aktiviti sihat yang dapat menyumbang ke arah proses pembangunan negeri,” katanya.
Pada majlis tersebut, Fatimah menyampaikan sumbangan beliau kepada AZAM Sarawak berjumlah RM5,000.
Turut hadir Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo, Pengurus Besar AZAM Sarawak Rosalind Yang Misieng, Pengerusi Jawatankuasa Belia AZAM Sarawak, Ariff Irwani Azahari serta yang lain.