KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima sebanyak 2,156 aduan meliputi pelbagai isu berkaitan pendidikan dalam tempoh bulan Januari hingga Jun tahun ini melalui pelaksanaan sistem pengurusan aduan kementerian, Sistem Pemantauan Aduan Awam Bersepadu (ISPAAA).
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Mary Yap, kesemua aduan daripada pelanggan sama ada yang diterima di peringkat kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri atau Daerah dan individu perseorangan direkod serta diselaraskan tindakan penyelesaiannya.
“Aduan yang diterima meliputi pelbagai isu seperti penempatan guru, pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah, pelantikan guru Interim ke jawatan tetap, elaun pelajar Institut Pendidikan Guru, bangunan sekolah mesra OKU dan sebagainya.
“Kesemua aduan ini akan diberikan perhatian sewajarnya dengan diadakan siasatan yang terperinci demi memberikan kepuasan kepada para pelanggan,” katanya berucap merasmikan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) KPM Siri Ke-2 yang dihadiri Pengarah Pelajaran Negeri Abdillah Adam dan Ketua Seksyen Hal Ehwal Korporat Unit Komunikasi Korporat Ab Kahar Harun di Pusat Beli-belah tHe Spring di sini, semalam.
Berkenaan program semalam, katanya, ia adalah antara saluran yang disediakan kementerian untuk mendekati masyarakat, sekali gus menjamin pandangan serta aduan yang diterima melalui aktiviti itu akan diteliti dan dinilai melalui surat pekeliling.
“Pendekatan turun padang KPM adalah bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia di mana harapan KPM ialah memahami perkara yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat umumnya dan pelanggan KPM khususnya dan memberikan penjelasan terperinci tentang perkara berkenaan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan perasaan wasangka.
“Dengan itu saya menyeru kepada semua warga KPM di seluruh negara sentiasa mengenal pasti dan mencuba pendekatan baharu untuk berurusan dengan pelanggan agar sesuai dengan perubahan pemikiran dan latar belakang pendidikan pelanggan yang lebih kritikal,” tegasnya.
Sementara itu, Ab Kahar dalam ucapannya berkata, HBP yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan hari ini disertai 35 bahagian jabatan dengan majoritinya adalah sektor pelajaran.
Katanya, sebagai peneraju kepada HBP pada kali ini, mereka berusaha untuk menjelaskan kepada orang awam mengenai aduan, penyelesaian masalah dan kehendak pelanggan.