LONDON, England: Pemain pertahanan kiri, Aly Cissokho menyertai Liverpool untuk tempoh pinjaman satu musim dari Valencia, menurut pengumuman kelab Liga Perdana Inggeris itu Selasa lepas.
Pemain dari Perancis berusia 25 tahun itu, yang hanya bermain sekali untuk Perancis, menyertai Valencia dari Lyon tahun lepas dan membuat 25 penampilan liga pada musim pertamanya bersama Valencia dan menjaringkan dua gol.
Beliau juga pernah bermain untuk FC Porto.
Dengan syarat lulus semua dokumentasi, beliau akan menjadi pemain kelima yang dibeli Liverpool sejak akhir musim lepas, menyertai penjaga gol Simon Mignolet, Kolo Toure dan dua pemain dari Sepanyol, Luis Alberto dan Iago Aspas.
“Saya berasa sangat bangga untuk berada di sini dan saya bangga dengan semua hasil usaha yang saya lakukan setakat ini dalam kerjaya saya,” kata Cissokho ketika memberitahu laman sesawang rasmi Liverpool.
“ Saya sentiasa mengimpikan untuk suatu hari nanti bermain bersama kelab-kelab legenda.
Saya bernasib baik bermain untuk beberapa kelab ternama dan untuk mendapat peluang bermain bersama Liverpool, ia sesuatu yang hebat.
“Saya sentiasa berkata, bersama-sama dengan ramai pemain Perancis yang lain, saya benar-benar menyukai liga Inggeris dan walaupun saya bernasib baik bermain dengan beberapa kelab besar, dalam fikiran ini, saya sentiasa mahu bermain di England.
” Liverpool, yang dibimbing Brendan Rodgers, memulakan musim baharu liga dengan kemenangan 1- 0 ke atas Stoke City hujung minggu lepas dan akan bertandang ke Aston Villa untuk perlawanan seterusnya Sabtu ini. — AFP