Oleh Hamimi Kassim

RAKAM KENANGAN: Talib bergambar bersama peserta Kursus Motivasi Perniagaan dan penerima peralatan PUTERA di Dewan Kenyalang, Menara SEDC, petang semalam.
Ia menjadi punca ramai antara mereka di negeri ini gagal dalam perniagaan, kata Talib
KUCHING: Gagal membentuk disiplin diri dan tidak serius menyebabkan ramai usahawan Bumiputera di negeri ini gagal dalam perniagaan, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datuk Talib Zulpilip.
Menurutnya, untuk berjaya dalam perniagaan seseorang itu perlulah mempunyai kesungguhan, menepati janji, mengikut kehendak pelanggan serta sentiasa menjaga kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
“Frasa ‘tiada siapa yang dapat mengubah kita melainkan diri kira sendiri’ seharusnya menjadi tunjang untuk kita semua lebih maju.
“Justeru, usahawan mahupun bakal usahawan hendaklah sentiasa melihat diri sendiri dan bersedia memperbaiki apa juga kelemahan yang ada dan perlu diingat tiada jalan pintas bagi sesuatu kejayaan melainkan usaha gigih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Motivasi Perniagaan dan Penyerahan Peralatan dan Mesin di bawah Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA) di Dewan Kenyalang, Menara SEDC di sini, petang semalam.
Mengulas lanjut, Talib yang juga Menteri Muda Pelancongan berharap para usahawan memanfaatkan sebaiknya bantuan yang disediakan kerajaan demi mengubah kehidupan dan memajukan lagi perniagaan masing-masing.
“Kepada penerima bantuan, hargailah bantuan kerajaan itu dengan berusaha lebih gigih dan rajin lagi serta pergunakan sepenuhnya ia bagi meningkatkan lagi produktiviti,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar bantuan yang digunakan tidak disalahgunakan seperti dijual, disewa dan sebagainya.
Bagi tahun 2014 sahaja seramai 122 peserta dari 10 zon di negeri ini telah menerima bantuan 408 unit daripada PUTERA.
PUTERA bertujuan meningkatkan perniagaan usahawan kecil dengan menyediakan bantuan peralatan dan setiap pemohon akan diberi geran dalam bentuk peralatan yang nilainya tidak melebihi RM5,000.
Jenis perniagaan yang layak menyertai PUTERA ialah bengkel (kimpalan besi untuk pagar/kereta), kedai runcit, makanan dan minuman, jahitan, kontraktor (pemotongan rumput/mencuci bangunan) dan pelbagai (percetakan baju dan sewaan peralatan untuk majlis perkahwinan).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Pembangunan Usahawan SEDC Safiee Ahmad dan Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Adrew Mikol Diot.