KUCHING: Sarawak pasti dapat memerangi pembalakan haram dengan lebih baik sekiranya mempunyai sistem pengauditan pihak ketiga yang bebas bagi meningkatkan lagi ketelusan dan mengukuhkan kredibiliti negeri ini dalam penambahbaikan pengurusan hutan jangka panjang ke arah mengekalkan sumber semula jadi.
Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia Sarawak, Dr Henry Chan berkata, dengan adanya sistem pihak ketiga pastinya dapat meningkatkan keyakinan pembeli dalam pasaran kayu global yang mahukan kayu dikeluarkan secara sah, mempunyai lesen dan pembekal yang diaudit dan dipantau.
Sebagai contoh katanya, beberapa negara pengeksport telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Sukarela (VPA) yang merupakan salah satu elemen Penguatkuasaan Undang-Undang Hutan, Tadbir Urus dan Pelan Perdagangan (FLEGT) Tindakan dan Peraturan Perkayuan Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan hanya kayu yang ditebang secara sah dieksport ke Kesatuan Eropah.
“Satu pendekatan rapi diperlukan untuk menangani pembalakan haram.
“Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan negara-negara pengimport utama seperti Jepun, China, India dan Korea Selatan untuk memastikan mereka hanya membeli kayu disahkan oleh undang-undang pada masa depan.
“Negara-negara Asia menerima kayu kita selagi lesen eksport dikeluarkan. “Mempunyai pengesahan pihak ketiga yang bebas untuk membantu mengurangkan kebimbangan mengenai status kesahihan kayu bagi mengelak pokok yang ditebang secara haram memasuki rantaian pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, FLEGT-VPA (Perjanjian Perkongsian Sukarela) adalah mekanisme yang baik yang dibangunkan bersama Malaysia dan EU untuk menangani isu ini.
Jelasnya, Sarawak boleh mendapat manfaat daripada perkongsian ini dan membantu membina keyakinan orang ramai mengenai kesahihan kayu keluaran negeri ini.
“Ia juga menunjukkan komitmen Sarawak ke arah mengurangkan pembalakan haram dengan mengukuhkan pengurusan hutan mapan dan undang-undang, meningkatkan tadbir urus dan menggalakkan perdagangan kayu yang dihasilkan secara sah,” jelasnya.
Dr Chan berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai langkah kerajaan untuk membekalkan senjata kepada pegawai penguat kuasa kanan Jabatan Perhutanan dan membekalkan lebih banyak kenderaan pacuan empat roda dan kelengkapan kepada mereka, baru-baru ini.
“Saya telah menerima laporan mengenai penyeludupan kayu, penebangan haram pokok dan tidak membayar royalti.
“Sebahagian daripadanya telah dilakukan pada siang hari. Kami mahu menghentikan semua itu,” kata Adenan dipetik dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bulan lepas selepas merasmikan Minggu Integriti Untuk Penguat Kuasa Sarawak.
“Kita perlu melaksana penguatkuasaan yang lebih cekap. Saya mengharapkan untuk melihat hasil dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Jika angka tersebut masih tidak bertambah baik, maka kita perlu melakukan sesuatu yang lebih drastik,” kata Adenan.
Dalam pada itu, Dr Henry memuji pegawai penguat kuasa dalam menjalankan tugas mereka untuk mengawal pembalakan haram, menunjukkan bahawa mereka meletakkan kehidupan mereka dalam risiko.
Beliau turut mencadangkan agar agensi penguatkuasaan seperti pihak tentera dan polis mengikuti pegawai perhutanan menjalankan tugas penguatkuasaan jauh di kawasan pedalaman untuk memberi amaran lebih tegas kepada pembalak haram.
“Jelas kita lihat bahawa kerajaan sedang cuba untuk menangani isu ini dengan serius,” jelasnya.