Oleh Patricia Gari//
KUCHING: Pengusaha bas sekolah yang mengenakan kadar tambang yang tinggi dan tidak munasabah sebagai satu kartel boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.
Timbalan Pengarah (Ketua Penguat Kuasa) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Abdul Hafidz A. Rahim berkata walaupun tiada undang-undang khas menetapkan harga tambang bas sekolah, peng-usaha tidak dibenarkan berpakat menetapkan harga.
“Kalau pengusaha bas sekolah mengenakan kadar tambang yang berbeza, ia bukan satu kesalahan kerana untuk persaingan sihat dalam kalangan pengusaha.
“Ia akan menjadi kesalahan apabila mereka (peng-usaha-pengusaha) berpakat menetapkan harga atau kadar tambang sebagai satu kartel kecuali dibenarkan oleh agensi bertanggungjawab dan bagi kes Sarawak ialah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebagai contoh katanya, sebelum ini pernah timbul isu kadar tambang bot ekspres di Sibu namun ia berjaya diselesaikan selepas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) membenarkan persaingan sihat dalam kalangan pengusaha untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.
Justeru beliau menasihati pengguna khususnya ibu bapa agar bijak membuat pemilihan iaitu memilih syarikat bas sekolah yang mengenakan kadar tambang berpatutan.
“Dalam hal ini pengguna harus menggunakan hak mereka untuk membuat pilihan dan hanya menggunakan perkhidmatan yang terbaik pada kadar tambang berpatutan,” katanya.
Abdul Hafidz berkata pengguna perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (myCC) di bawah KPDNKK, sebarang kejadian di mana pengendali bas sekolah didapati telah menetapkan harga yang tidak munasabah sebagai satu kartel.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai rungutan ibu bapa tentang kadar tambah bas sekolah yang tidak seragam meskipun jarak perjalanan sama.
Sementara itu Pengerusi LPKP yang juga Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah yang dihubungi semalam berkata pengendali bas sekolah mesti mengikut kadar tambang ditetapkan.
Hasbi bagaimanapun tidak dapat mengatakan kadar sebenar kerana ketika dihubungi beliau berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi.
“Sebenarnya LPKP mene-tapkan kadar tambang yang boleh digunakan oleh pengendali bas sekolah di negeri ini… tetapi saya tidak boleh menyatakan kadar itu dengan tepat kerana saya berada di KL sekarang,” katanya.
Kelmarin Nancy Lim, 41, dari Taman High Park Jalan Kuching Serian memberitahu Utusan Borneo bahawa beliau agak terkejut apabila mendapati beberapa pengendali perkhidmatan bas sekolah yang ditemui mengatakan kadar tambang berbeza walaupun jarak perjalanan sama.
“Saya menghubungi tiga pengendali bas sekolah untuk kegunaan anak saya ke sekolah yang hanya terletak beberapa meter dari rumah namun setiap daripada peng-usaha itu menyatakan kadar tambang berbeza iaitu RM50, RM70 dan RM80.
“Apabila ditanya pelbagai alasan diberikan antaranya penarikan subsidi bahan api terutama diesel,” katanya.