Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 47228 articles
Browse latest View live

Saudara baharu di Julau dinasihati kekal perpaduan

$
0
0

JULAU: Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum menasihati saudara baharu di daerah Julau agar sentiasa mengekalkan perpaduan dan keamanan dengan masyarakat yang lain.

Menurut Salang, walaupun mereka berlainan agama namun saudara baharu masih berbangsa Iban serta ada yang masih tinggal di rumah panjang.

“Walaupun segelintir mereka masih tinggal di rumah panjang mereka boleh pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang,” katanya pada Program Sivik Al-Mukminin dan Maal Hijrah 1437 Bersama Pemimpin di Masjid Darul Hidayah Julau.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Daerah Julau dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hidayah Julau.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Julau Maria Tungkat, Pegawai Daerah Julau Bidah Lujah, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Hidayah Alwee Yamin, Ketua Kaum Mohd Haris Abdullah dan Ahli Majlis Tertinggi SPDP Belayong Jampong.

Sementara Haris dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Salang atas sumbangan seekor lembu semasa Hari Raya Korban lalu serta geran sejumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Masjid Darul Hidayah.

Haris juga memohon perkampungan untuk orang Islam di daerah Julau bagi memudahkan mereka berkumpul dan melaksanakan aktiviti selain peruntukan bagi membuat pendawaian elektrik baharu di Masjid Darul Hidayah.

Pada majlis sama, sejumlah 15 hamper diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

 


Sebanyak 60 kampung di kawasan Kedup bakal dapat bekalan air bersih

$
0
0

KUCHING: Sebanyak 60 kampung di kawasan Kedup bakal mendapat bekalan air bersih melalui pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang akan bermula tahun depan.

Pada masa ini, kampung-kampung tersebut bergantung kepada sistem air graviti untuk bekalan air bagi kegunaan domestik mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben berkata kawasan tersebut telah diperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk penyambungan paip ke kawasan kampung-kampung untuk bekalan air daripada Loji Rawatan Air Slabi.

“Mudah-mudahan projek-projek ini dapat disiapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata kini terdapat 100 peratus jalan perhubungan ke kampung-kampung dalam kawasan Kedup dan cuma dua hingga lima peratus daripadanya merupakan jalan yang masih belum berturap.

Beliau mengakui bahawa peratusan kecil kampung termasuk Sungai Paoh dan Marakai masih belum mempunyai bekalan elektrik.

“Saya percaya ini dapat diselesaikan di bawah RMK11 dan di bawah Program Transformasi Luar Bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Martin berharap pengundi akan menggunakan dengan baik infrastruktur baharu dan kemudahan asas yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

“Mudah-mudahan, rakyat akan mengambil kesempatan daripada semua ini untuk menjana pendapatan lebih baik, seterusnya meningkatkan taraf hidup masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika turun padang untuk meninjau beberapa kampung dalam kawasan Kedup hujung minggu lalu.

Antara kampung tersebut adalah Mentung Mubuk, Mentu Tapu dan Slabi Entukuh.

Pencalonan semula Martin dalam Pilihan Raya Negeri akan datang telah disahkan oleh Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, baru-baru ini.

 

Pelbagai acara meriah Pesta Lingga

$
0
0

SRI AMAN: Geran sejumlah RM60,000 telah disalurkan kepada Jawatankuasa Induk Pesta Lingga 2015 bagi membiayai penganjuran pesta tersebut pada 6 hingga 8 November ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata peruntukan itu diberi untuk membantu ahli jawatankuasa induk melaksanakan pelbagai aktiviti menarik pada pesta dilangsungkan di pekan Lingga.

Menurutnya, pelbagai acara disajikan kepada pengujung sepanjang tiga hari pesta itu seperti Regata Lingga dan sukan air (pam ski), sukan darat dan sukan rakyat termasuk pertandingan futsal, sepak raga, batak lampong dan menyumpit.

“Selain itu, turut diadakan sepanjang pesta itu ialah pameran agensi-agensi kerajaan dan swasta serta gerai jualan makanan dan minuman,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh serta ahli Jawatankuasa Induk Pesta Lingga 2015 di sini, semalam.

Simoi berkata pada pesta tahun ini, jawatankuasa pengelola turut menampilkan pertandingan Ratu Kebaya bagi kategori Ratu Kebaya Nyonya dan Busana Anggun.

“Pertandingan itu adalah terbuka kepada wanita berusia 18 tahun ke atas.

“Seperti pesta yang sama tahun lalu kita turut mengadakan malam kebudayaan yang menampilkan artis-artis tempatan,” katanya.

Jelasnya, mereka yang meminati bidang masakan turut dialu-alukan menyertai pertandingan masakan pada pesta itu.

Menurutnya, salah satu acara baharu ialah pameran dan demonstrasi kapal terbang RC.

Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohd Ellfizan Paukan serta yang lain.

Majlis perasmian Pesta Lingga 2015 dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 6 November ini.

 

Komponen BN ikrar sokong SPDP di Marudi

$
0
0

Oleh Saibi Gi//

 

KUCHING: Wakil daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak merangkumi SUPP dan PRS memberi jaminan mereka akan berjuang habis-habisan berkempen dan mengundi demi calon SPDP di kerusi Marudi pada Pilihan Raya Negeri(PRN) akan datang.

Mereka memberi jaminan ini pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ajie Sungai Selepin, Bakong yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang daripada parti-parti itu dan PBB pada Sabtu lepas.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dimenangi SPDP pada PRN yang lalu dan parti itu juga telah bertegas akan mempertahankan kerusi itu meskipun penyandangnya Datuk Sylvester Entri telah meninggalkan parti untuk menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

SPDP telah memutuskan untuk mencalonkan Datu Dr Penguang Manggil yang merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti untuk bertanding di Marudi dan telah menerima maklum balas positif daripada penduduk di kawasan itu.

Dalam ucapannya pada majlis itu, En Egi King, setiausaha PRS Senadin berkata ahli-ahli PRS di kawasan Marudi akan berdiri teguh di belakang Penguang pada pilihan raya kelak.

Beliau setuju dengan Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu yang berucap terdahulu bahawa kerusi Marudi secara tradisinya milik SPDP, justeru parti mereka wajar diberi mandat untuk mempertahankan kerusi itu bagi pihak BN.

Katanya TERAS tidak pernah diterima masuk ke dalam BN, oleh itu ia bukan parti komponen BN.

Seorang pemimpin SUPP Marudi, Joseph Tiong berkata tidak banyak pembangunan di Marudi disaksikan sepanjang empat penggal di bawah penyandangnya sekarang.

“Tiba masa bagi calon baharu yang boleh membawa pembangunan kepada Marudi. Calon SPDP mempunyai pengalaman luas dan SUPP Marudi mengalu-alukan sokongan kepadanya,” katanya.

Seorang ahli PBB, Kalip Sabil yang turut berucap berkata mereka akan menyokong sesiapa sahaja calon diletakkan BN bagi mempertahankan kerusi Marudi pada pilihan raya kelak.

 

Pelajar diminta terus berusaha, fokus capai kecemerlangan

$
0
0

LIMBANG: Golongan pelajar diminta terus berusaha dan fokus mencapai kecemerlangan akademik di sekolah masing-masing.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti cemerlang.

Katanya tiada sebab generasi muda tidak boleh berjaya dalam pelajaran memandangkan semua sekolah di sini mengadakan pelbagai program meningkatkan prestasi pelajar.

“SMK Seri Patiambun antara sekolah menengah yang sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang khususnya pencapaian akademik,” katanya pada Majlis Graduasi dan Restu Ilmu SPM 2015 di SMK Seri Patiambun di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Anuar Naim, Pengetua SMK Seri Patiambun Ahmad Melan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Patiambun Imban Geruna dan pengerusi program yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SMK Seri Patiambun Nor Sham Md Jub.

Hasbi berkata setiap pelajar perlu mencapai matlamat untuk berjaya dalam pelajaran.

“Matlamat kita hendak meningkatkan kecemerlangan, kalau dapat setiap pelajar dalam sistem pendidikan kita.

“Saya yakin kejayaan anak-anak kita seperti di sekolah ini adalah hasil kerjasama erat pihak sekolah, guru dan ibu bapa,” ujarnya.

Katanya peranan dimainkan oleh PIBG sekolah turut membantu meningkatkan prestasi pelajar.

Beliau turut menasihati ibu bapa yang anak mereka tidak mencatat keputusan cemerlang seperti dihajati agar tidak berputus asa.

Pada majlis sama Connie Thian muncul penerima Anugerah Pengetua (terbaik keseluruhan).

Anugerah Pelajar Terbaik turut diberikan kepada Mohd Fakhrul Bahri Drahman iaitu pelajar terbaik SPM 2014, selain Nuramnani Limin, Siti Khadijah Taer, Michele Adlyn, Gwendolyn Nara dan Jaarah Hamid.

Anugerah Peperiksaan Percubaan Terbaik 2015 diberikan kepada Connie Thian, Anie Khairiah Sulaiman, Nor Rashidah Rahimaollah, Mohamad Amizi Tarip, Ronicca Esah, Noor Azlin Tambang@Gani dan Nurhaniza Jayranie.

 

 

 

 

Awang Tengah terima kunjungan hormat Yamada Hideo

$
0
0
UNTUK ANDA: Awang Tengah menyampaikan cenderamata kepada Akimoto (dua kiri) dan Yamada (kiri). Turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Datu Liaw Soon Eng (kanan). — Gambar Penerangan

UNTUK ANDA: Awang Tengah menyampaikan cenderamata kepada Akimoto (dua kiri) dan Yamada (kiri). Turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Datu Liaw Soon Eng (kanan). — Gambar Penerangan

KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd Yamada Hideo baru-baru ini.

Dalam kunjungan hormat itu, Yamada yang telah berkhidmat di Sarawak selama empat tahun, memperkenalkan bakal penggantinya, Akimoto Yoshio kepada Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.

Taiyo Yuden yang berpangkalan di Jepun, mengeluarkan kapasitor seramik pelbagai lapisan di pusat perindustrian Sama Jaya yang lazimnya digunakan dalam telefon pintar, komputer dan televisyen.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan semalam, setakat ini loji Sama Jaya mempunyai 4,000 pekerja di mana kira-kira 99 peratus daripada jumlah itu adalah rakyat Sarawak.

Taiyo Yuden melahirkan keyakinan terhadap pelaburannya di Sarawak dan akan meneruskan pelan pengembangannya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan tambahan 8.84 ekar tanah di Sama Jaya bagi perluasan syarikat itu.

Kerja pembinaan kemudahan baharu akan dimulakan tahun depan.

 

 

Limbang memerlukan sekolah rendah dan menengah baharu

$
0
0

LIMBANG: Penduduk di sini masih menanti khabar gembira agar kerajaan dapat membina lebih banyak kemudahan dan prasarana pendidikan termasuk pembinaan sebuah sekolah rendah dan menengah baharu meskipun permohonan projek tersebut sudah diketengahkan sejak lebih lima tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata Limbang memerlukan sekolah rendah dan menengah baharu bagi menampung jumlah peningkatan pelajar saban tahun.

Beliau berkata permohonan bagi projek tersebut sudah dibuat sejak lebih lima tahun lalu tetapi sehingga kini rakyat masih menunggu pelaksanaannya.

“Selain sekolah rendah dan menengah, kita juga minta supaya dibina Sekolah Menengah Vokasional, Kolej Komuniti atau MARA dan Pusat Tingkatan Enam di Limbang,” katanya pada Majlis Konvokesyen Tahun Enam, Zon A di sini semalam.

Zon A terdiri daripada tujuh sekolah iaitu SK Limbang, SK Limpaku Pinang, SK Gadong, SK Telahak, SK Merambut, SK Tiga Kampung dan SK Melayu Pusat.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Anuar Naim, Pengerusi Program yang juga Guru Besar SK Limbang Kartini Hasbollah, Guru Besar SK Melayu Pusat Usop Sapihi, Guru Besar SK Gadong Taip Maknon, Pemangku Guru Besar SK Limpaku Pinang Ahmad Bakar, Guru Besar SK Tiga Kampung Samsudin Bakar, Guru Besar SK Telahak Osman Lakat dan Guru Besar SK Merambut Erak Tut.

Dr Abdul Rahman berharap kerajaan dapat melihat masalah tersebut untuk diluluskan pembinaannya.

Selain itu, kerajaan juga sudah meluluskan sekolah gantian penuh SMK Limbang dan pelaksanaan sekolah gantian penuh SK Gadong masih dalam peringkat perbincangan.

Beliau berkata kemudahan pendidikan amat diperlukan di sini memandan­gkan sekolah yang ada seka­rang tidak dapat menampung peningkatan jumlah pelajar.

“Kami terus per­juangkan perkara ini demi keperluan rakyat khususnya dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan berkualiti dan cemerlang pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman mahu agar Sekolah Kurang Murid (SKM) yang ada di daerah ini dapat dikekalkan.

 

 

 

Anggota RELA diingatkan agar menjaga imej pasukan

$
0
0

TANJUNG MANIS: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diingatkan agar menjaga imej pasukan dengan sebaiknya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata RELA merupakan pasukan keselamatan paling dekat dengan peringkat akar umbi.

“Kita mahu anggota RELA menjadi mata dan telinga kerajaan terutama berkaitan keselamatan di kawasan dan memberi bantuan kepada pasukan keselamatan lain,” katanya pada Majlis Penyerahan Pakaian Seragam dan Penutupan Kursus Asas RELA Siri 04/2015 di Kampung Rajang, kelmarin.

Beliau berkata, RELA bukan sahaja boleh membendung ancaman musuh tetapi mengatasi masalah jenayah setempat.

“Sebagai pasukan yang dekat dengan masyarakat mereka harus menunjukkan teladan dan contoh dalam semua perkara termasuk kepimpinan dan disiplin,” katanya.

Tambahnya, komitmen dan kerjasama seperti ini mampu memberi impak positif kepada aspek keselamatan sekali gus membendung jenayah di kawasan terbabit.

“Sejak kebelakangan ini, jumlah anggota RELA di kawasan kita menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, Belawai mempunyai seramai 620 anggota RELA, Rajang 160 dan Jerijeh 61.

“Berdasarkan perkembangan positif itu, tahun ini kita merancang menganjurkan beberapa aktiviti melibatkan penyertaan anggota RELA bersama masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama Pegawai Daerah Tanjung Manis Udin Bujang, Pegawai RELA Daerah Kasim @ Ahmad Drahim serta para pemimpin masyarakat.

 


Elak pelajar terlibat gejala tidak diingini: Fatimah

$
0
0

Oleh Jessica Jawing//

 

TAKLIMAT: Fatimah (kanan) bersama Hanifah (kiri) dan Sharifah Mordiah (dua kanan) serta ahli jawatankuasa PERKIM lain beraksi semasa sidang media selepas taklimat bersama di pejabat beliau di Kuching, semalam.

TAKLIMAT: Fatimah (kanan) bersama Hanifah (kiri) dan Sharifah Mordiah (dua kanan) serta ahli jawatankuasa PERKIM lain beraksi semasa sidang media selepas taklimat bersama di pejabat beliau di Kuching, semalam.

KUCHING: Badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran menyahut cabaran untuk mengadakan program seperti ‘summer camp’ kepada pelajar sekolah terutama pada musim cuti yang akan datang ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia bagi mengisi masa terluang pelajar sekolah khasnya dengan aktiviti yang berbentuk sahsiah diri sekali gus mengelak gejala yang tidak diingini.

“Ini kerana musim cuti sekolah adalah antara yang menjadi kebimbangan kepada kita kerana ia boleh mewujudnya pergaulan bebas dan pada musim cuti ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka.

“Hasil taklimat kita hari ini (semalam) ada yang mencadangkan aktiviti seperti ‘summer camp’ ditubuhkan dan ia sebenarnya telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, dengan objektif tertentu seperti membentuk sahsiah diri serta kerohanian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan taklimat mengenai Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang dihadiri Pengerusi PERKIM Sarawak Datuk Hanifah Taib-Alsree dan Pengerusi PERKIM Cawangan Kuching Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Pauzi di pejabat beliau di sini, semalam.

Bagaimanapun menurut beliau program sedemikian dapat dianjurkan dengan jayanya melalui badan korporat atau NGO dengan aktiviti-aktiviti tertentu.

Sehubungan itu, katanya kementeriannya amat menggalakkan kem berkenaan dilaksanakan pada musim cuti sekolah kerana ia juga merupakan program penting dalam mengelakkan pergaulan bebas sekali gus remaja hamil.

“Pada hari ini, kita mengadakan taklimat bersama NGO seperti PERKIM di mana kita menumpukan tentang kes remaja hamil di dua bahagian iaitu Samarahan dan Kuching.

“Menurut statistik kes remaja hamil Januari hingga Ogos 2015 di dua bahagian berkenaan adalah bagi Samarahan sebanyak 173 kes sementara Kuching sebanyak 380 kes,” ujarnya.

Beliau berkata antara tumpuan utama yang dibincangkan juga mengenai golongan remaja khasnya mereka yang berusia 15 hingga 17 tahun.

Kata Fatimah melihat kepada kajian atau profil yang didapati jawatankuasa OSTPC mendapati kebanyakan remaja hamil membuat keputusan untuk berhenti sekolah dan cabaran mereka sebagai ibu muda.

Beliau memberitahu OSTPC yang dibantu pelbagai agensi kerajaan berkaitan selain NGO dan swasta dapat memberi kesedaran secara advokasi kepada golongan remaja.

“Sehingga kini kita berjaya menubuhkan OSTPC di semua bahagian di negeri ini untuk usaha lebih bersepadu dalam mengurangkan kes remaja hamil di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata namun jika dibandingkan dengan negeri lain dari segi statistik remaja hamil Sarawak mencatat 3,401 kes atau 8.4 peratus pada tahun 2014.

 

 

 

 

Penyertaan 12 profesional bukti ideologi, visi DAP diterima Dayak

$
0
0

KUCHING: Penyertaan seramai 12 golongan profesional Dayak ke dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak pada 1 November lalu membuktikan ideologi dan visi parti itu telah diterima oleh masyara-kat Dayak.

Malah, menurut ADUN Pending Violet Yong ia juga menunjukkan bahawa DAP bukan merupakan parti untuk satu bangsa sahaja tetapi untuk semua kaum.

“Saya berharap dengan penyertaan mereka ke dalam parti, kami dapat bekerjasama dalam membina Sarawak dan Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Violet turut menegaskan bahawa kaum Dayak, yang merangkumi 44 peratus populasi negeri ini memainkan peranan penting dalam memastikan negeri terus membangun ke arah masa depan yang lebih baik.

“Jika Sarawak mahu me-nyaksikan perubahan yang baik dan baharu, kita tidak dapat hanya bergantung kepada pengundi bandar tetapi juga luar bandar yang majoritinya adalah kaum Dayak.

“Saya yakin jika kami dapat memasuki kawasan luar bandar dalam Pilihan Raya Negeri nanti dengan memenangi sokongan masyarakat Dayak, ini akan melonjakkan lagi momentum kami untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal,” katanya.

Dua belas golongan profesional Dayak tersebut ialah Paul Raja (peguam), Richard Lias (setiausaha agung Kongres Kebangsaan Dayak), Baba Emperan (ahli perniagaan), Ali Basah (peguam), Frankie Bedindang (bekas wali kota Kapit), Douglas Alau (bekas pensyarah universiti dan bekas setiausaha eksekutif PBDS), David Kalom (bekas timbalan pe-ngarah badan berkanun), Granda Aing (ahli perniagaan), Robert Tella (bekas leftenan komander tentera laut), Edward Agong (bekas guru) dan Gabriel Ajan (bekas kakitangan Petronas).

Mereka telah disambut oleh pemimpin tertinggi DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam satu majlis di ibu pejabat DAP Sarawak di sini pada Ahad lepas.

Sempena majlis itu, mereka turut menandatangani Pelan Tindakan Dayak DAP yang menggariskan tujuh perkara utama untuk meningkatkan kehidupan Dayak.

Tujuh perkara utama ter-sebut ialah Kepimpinan Politik, Reformasi Tanah, Polisi Pembangunan Asli Kebangsaan, Pembangunan Modal Insan Peribumi, Infrastruktur dan Pembangunan Maklumat, Identiti Dayak dan Perjanjian Malaysia 1963.

 

Lampu isyarat tidak atasi kesesakan sebaliknya menyukarkan pengguna

$
0
0

KUCHING: Pemasangan lampu isyarat di Jalan Matang, dari Lee Ling Emart untuk mengatasi kesesakan lalu lintas tidak memberi keberkesanan sebaliknya menyukarkan pengguna jalan raya di situ.

Sehubungan itu, ADUN Batu Kawah Christina Chiew berkata beliau telah menerima beberapa aduan mengenai ketidakberkesanan lampu isyarat yang terletak di persimpangan Taman Matang dan bandar baharu – Bandar Metro itu.

“Sebelum kerja pembinaan untuk menaik taraf jalan kepada dua hala, kenderaan dibenarkan untuk membuat pusingan U di situ.

“Tetapi sekarang jika dari arah Kubah Ria, lampu isyarat tersebut tidak lagi membenarkan kenderaan membuat pusingan U ke Taman Matang Avenue menyebabkan kenderaan perlu menggunakan bulatan berhampiran Lee Ling Emart untuk membuat pusingan.

“Ini adalah menyukarkan terutama pada waktu puncak dan memberi kesulitan kepada orang yang tinggal di sana,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di sini, semalam.

Menurut Christina, secara purata pengguna jalan raya di situ perlu menghabiskan sekurang-kurangnya lima minit untuk beratur sebelum boleh melalui bulatan tersebut.

“Jika mereka dibenarkan membuat pusingan di lampu isyarat berkenaan, ia bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi menjimatkan masa dan penggunaan bahan api kendera-an,” katanya.

Berhubung perkara itu, beliau berkata seorang penduduk telah mengumpul tanda-tangan daripada penduduk lain terutama yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan untuk merayu kepada pihak berkuasa berkaitan (Dewan Bandaraya Kuching Utara – DBKU) untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, katanya sudah lebih tiga bulan berlalu dan tiada apa yang telah dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Sehubungan itu, Christina memberitahu bahawa beliau telah menulis surat kepada DBKU dan JKR untuk meminta mereka melaraskan tetapan lampu isyarat bagi membolehkan pusingan U dibuat di situ tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke bulatan Matang untuk membuat pusingan.

 

Pastikan harga LPG dikawal dengan baik

$
0
0

Oleh Nick Fletcher//

 

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) harus memasti-kan harga Gas Petroluem Cecair (LPG) dikawal dengan baik untuk meringankan beban pengguna khususnya di negeri ini.

Menurut ADUN Pending Violet Yong, LPG atau lebih dikenali sebagai gas memasak adalah barang terkawal yang digunakan oleh setiap isi rumah dan penjaja dengan harga runcit sebenar yang ditetapkan bagi setong adalah RM26.60.

Bagaimanapun, katanya ‘pengguna akhir’ kini perlu membayar antara RM28 hingga RM30 untuk men- dapatkan gas memasak seberat 14 kilogram itu.

“Selepas memantau pasaran dan mendapatkan harga sebenar, saya mendapati bahawa pengeluar mendapat setong LPG pada harga RM21.70 manakala pemborong membeli pada harga RM25.60.

“Pemborong kemudian menjual RM26.60 kepada peruncit dan akhirnya untuk dijual kepada pengguna, penetapan harga oleh peruncit adalah mengikut jarak dan caj pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Parti Tindakan De-mokratik (DAP) Sarawak di sini, semalam.

Justeru, Violet berkata adalah tidak wajar untuk rakyat Sarawak membeli gas memasak pada harga yang tinggi kerana negeri ini merupakan pengeluar minyak dan gas.

“Rakyat harus menikmati faedah yang lebih baik dan bukannya membayar lebih seperti apa yang berlaku se-karang,” katanya.

Tegasnya lagi, kerajaan sewajarnya dapat menyeragamkan harga LPG seperti yang dilakukan ke atas minyak masak di mana ia dijual pada harga tetap di setiap kedai dan pasar raya.

“Jika kerajaan dapat me-nyeragamkan harga minyak masak, mengapa begitu sukar bagi mereka untuk menetapkan harga ke atas gas memasak.

“Untuk itu, saya menyeru kerajaan mengurangkan margin keuntungan pengeluar demi menjaga keperluan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga boleh memberi subsidi ke atas LPG untuk meringankan beban rakyat.

“Menjaga kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada memperkayakan pengeluar, yang kebanyakannya merupakan syarikat kroni kerajaan,” katanya.

 

 

Jangan beri sokongan kepada pembangkang, kata Adenan

$
0
0

KAPIT: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggesa rakyat di negeri ini supaya tidak memberikan sokongan kepada parti-parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya parti-parti berkenaan adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Kita tidak mahu parti-parti itu di negeri ini termasuk UMNO datang ke sini. Parti yang sedia ada di negeri ini sudah cukup bagi rakyat negeri ini.

“Sokonglah parti berasal dari negeri ini sahaja. Tiada orang lain tahu Sarawak kecuali anak Sarawak sendiri.

“Biarlah kita dengan parti kita sendiri dan Sarawak tidak memerlukan parti lain dari luar negeri,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bukit Mabong di Dewan Suarah Kapit di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Residen Bahagian Kapit Fedrick John George serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, beliau mahu rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang.

Justeru, beliau turut meminta rakyat memberinya lima tahun lagi bagi terus berkhidmat mentadbir negeri ini.

“Saya tidak minta lama cuma lima tahun sahaja. Lepas itu, saya bersara kerana sudah tua.

“Berilah peluang kepada saya menuntut seberapa banyak keistimewaan kepada negeri ini demi generasi akan datang sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Adenan turut memberitahu bahawa beliau terus berpegang kepada janjinya dan menunaikan setiap permintaan rakyat.

Menurutnya, Sarawak sebagai sebuah negeri terkaya di negara ini dengan hasil-hasil sumbernya perlu maju sejajar dengan sumbangannya kepada negara ini.

“Sekarang sudah tiba masanya untuk Sarawak maju. Selagi saya menjadi Ketua Menteri selagi itu saya memperjuangkan hak anda.

“Oleh itu, saya memerlukan masa lima tahun lagi untuk merealisasikan sebanyak 45 perkara kerana dua tahun sahaja tidak cukup bagi saya,” tambahnya.

Sementara itu, beliau menggesa rakyat negeri ini terus mempertahankan semangat harmoni dan aman damai bagi kemakmuran Sarawak.

“Kita di Sarawak sudah lama hidup aman damai tanpa sebarang konflik lebih-lebih lagi dengan hal-hal agama dan perkauman.

“Kita tidak mahu mencontohi masyarakat di Semenanjung Malaysia yang tidak berhenti-henti bergaduh melibatkan isu-isu perkauman, agama dan sebagainya.

“Apa yang terjadi di sana, biarkan jangan peduli. Cukuplah kita jaga negeri ini sahaja dan jangan terbabit dengan hal-hal di sana,” katanya.

 

UCTS kini mampu menampung 2,500 hingga 3,000 pelajar

$
0
0
SELAMAT DATANG: Wong (dua kiri) dan Abdul Hakim (kiri) bermesra dengan tiga pelajar dari China sementara Ketua Pejabat Antarabangsa UCTS Dr Winnie Wong melihat sama.

SELAMAT DATANG: Wong (dua kiri) dan Abdul Hakim (kiri) bermesra dengan tiga pelajar dari China sementara Ketua Pejabat Antarabangsa UCTS Dr Winnie Wong melihat sama.

SIBU: Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) kini mampu menampung jumlah pelajar seramai 2,500 hingga 3,000 apabila bangunan Fasa 2A UCTS siap dibina.

Pengerusinya Dato Sri Wong Soon Koh berkata kini UCTS mempunyai seramai 1,294 pelajar iaitu 446 pelajar program asasi dan 848 pelajar ijazah.

“Sebanyak 60 peratus pelajar kita adalah dari Sibu manakala 40 peratus merupakan pelajar dari luar kawasan Sibu.

“Kita mempunyai seramai 201 kakitangan, di mana 104 merupakan tenaga pengajar dan 27 peratus daripadanya adalah tenaga pengajar mempunyai kelayakan Doktor Falsafah (PhD).

“Kita juga menyasarkan pengambilan seramai 2,000 pelajar tahun depan,” katanya pada sidang media di UCTS semalam.

Hadir sama Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri dan Timbalan Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Sabarudin Mohammad.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti berkata pada September lalu, UCTS memperkenalkan lima program baharu iaitu Sarjana Dalam Kejuruteraan (Kajian), Sarjana Sains Dalam Pengurusan Perniagaan (Kajian), Sarjana Pentadbiran Perniagaan, PhD Dalam Kejuruteraan dan PhD Dalam Pengurusan Perniagaan.

“Ini membuktikan kita bukan hanya sebuah institusi pendidikan bertaraf kolej semata-mata seperti diperkatakan selama ini.

“Kerana kita mampu menawarkan program sarjana (master) dan PhD,” katanya sambil menambah, diskaun 30 peratus yuran belajar program sarjana muda diteruskan sehingga pengambilan 2016.

Manakala semua pelajar sedia ada berkaitan (pengambilan 2013 hingga 2015) terus menikmati diskaun 30 peratus berkenaan untuk semua program.

Bagi pelajar asasi pula, mereka terus menikmati diskaun yang sama tetapi hanya untuk pelajar yang tidak mendapat sebarang tajaan.

“Sebarang kenaikan yuran pada masa akan datang tidak melibatkan pelajar sedia ada, hanya pelajar baharu sahaja,” katanya sambil menambah, kadar yuran dikenakan oleh UCTS pada masa ini masih berpatutan.

Di samping itu, beliau turut mengumumkan bahawa Sekolah Pengkomputeran UCTS akan mengadakan program Bengkel Keselamatan Siber pada 25 dan 26 November ini.

Menurutnya, bengkel itu membincangkan mengenai ancaman dan isu keselamatan penggunaan Internet dan media sosial yang kian meningkat masa kini, menjadi sebahagian keperluan manusia.

Pada masa sama, turut diumumkan tawaran Program Intensif Bahasa Inggeris selama tiga bulan bermula Januari 2016 untuk semua pelajar SPM dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menamatkan peperiksaan pada Disember 2015.

“Program ini bertujuan menyediakan mereka kemahiran bahasa Inggeris sebelum meneruskan pengajian di universiti.

“Bagi mereka yang memohon melanjutkan pengajian di UCTS mereka ditawarkan diskaun istimewa untuk IEP,” kata Wong.

Di samping itu, UCTS menawarkan program latihaan jangka pendek berdasarkan industri di bawah Majlis Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (CEPD) dan diselia oleh Dr Ramli.

Selain itu, UCTS turut memperkenalkan tiga pelajar Universiti Wuyi, Wuyishan menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa.

Menurut Wong, tiga pelajar ini akan mengikuti program pengajian Sekolah Pengurusan dan Perniagaan selama empat bulan.

“Pada September lalu, kita menghantar dua pelajar ke Universiti Wuyi di bawah program sama,” katanya.

 

Bukit Mabong merancakkan ekonomi di kawasan tengah

$
0
0

KAPIT: Pengisytiharan Bukit Mabong sebagai daerah baharu bakal merancakkan ekonomi di kawasan tengah khususnya di Kapit.

Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata Bukit Mabong juga mungkin merupakan salah satu daerah dihuni penduduk dikelilingi gunung dan lembah serta sungai-sungai yang deras.

Katanya daerah Bukit Mabong mempunyai keluasan kira-kira 11,976 kilometer persegi dan dihuni kira-kira 22,145 orang daripada 117 rumah panjang.

“Bentuk muka buminya masih memiliki hutan tebal serta berbukit bukau, sangat berpotensi dibangunkan sebagai ekopelancongan.

“Selain itu, kawasan kaki bukitnya sehingga Sungai Tunoh yang dianggarkan seluas kira-kira 50,000 ekar juga sangat berpontesi dijadikan sebagai jelapang padi,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bukit Mabong di Kapit semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Parlimen Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Menurut Dr Masing, pengwujudan daerah itu menjadi suatu realiti selari dengan usaha kerajaan mentransformasikan kawasan luar bandar seiring dengan kemajuan di bandar.

Jelasnya, pentadibiran daerah Bukit Mabong menyediakan perkhidmatan pembangunan kepada penduduk kawasan sekitarnya.

“Sebelum ini, rakyat di sini yang memerlukan perkhidmatan terpaksa ke Kapit dan keadaan itu menyukarkan rakyat kerana melibatkan kos pengangkutan tinggi serta mengambil masa lama,” katanya.

Dalam pada itu, Douglas Pungga merupakan anak tempatan dilantik sebagai pegawai daerah Bukit Mabong yang pertama.

Sebelum diisytiharkan sebagai daerah baharu, Bukit Mabong merupakan kawasan di bawah pentadbiran daerah Kapit dan Belaga.

 


Daerah Bukit Mabong dihubungkan dengan Kapit

$
0
0

Oleh Watt Zacchaeus dan Andy Sabang//

SAKSI: Adenan (berdiri tiga kanan) menyaksikan majlis serah tugas antara Elvis (duduk kiri), Halim (tengah) dan Douglas pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bukit Mabong di Kapit semalam.

SAKSI: Adenan (berdiri tiga kanan) menyaksikan majlis serah tugas antara Elvis (duduk kiri), Halim (tengah) dan Douglas pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bukit Mabong di Kapit semalam.

 

KAPIT: Daerah baharu di sini iaitu Bukit Mabong akan dihubungkan dengan Kapit apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan sejumlah RM35 juta untuk pembinaan Jambatan Sungai Mujong.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata jambatan sepanjang 170 meter itu mesti dilaksanakan bermula awal tahun depan.

“Kita sediakan peruntukan itu dan mestilah dibuat pada awal tahun depan. Jangan tangguh-tangguh lagi bagi memudahkan kita membangunkan daerah baharu ini.

“Makin cepat kita laksanakannya, makin cepat kita berkembang serta membangunkan ekonomi di sini yang sangat berpotensi dengan sektor pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan padi,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bukit Mabong di Dewan Suarah Kapit di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Residen Bahagian Kapit Fedrick John George serta kenamaan lain.

Dalam perkembangan lain, Adenan turut meluluskan RM5 juta untuk menukar paip air lama kepada baharu bagi menyelesaikan masalah air di Kapit.

“Nanta memberikan RM5 juta lagi daripada kementeriannya bagi menampung peruntukan diberikan oleh kerajaan negeri.

“Mudah-mudahan tiada masalah air lagi di sini,” jelasnya sambil memberitahu kos penukaran paip tersebut berjumlah RM10 juta.

Beliau turut menggesa menteri-menteri berkenaan dapat mempercepat kerja-kerja mereka khususnya dalam melaksanakan jalan raya.

“Kita memang jauh ketinggalan daripada Semenanjung Malaysia. Di sana ada lebuh raya yang bagus dari Kangar, Perlis hingga ke Johor.

“Tidak mungkin kita tidak boleh buat seperti di sana. Justeru, kepada menteri-menteri berkenaan jangan berlengah lagi. Sarawak mesti maju seperti di sana.

“Saya akan memastikan Sarawak maju dan membangun pesat selagi menjadi Ketua Menteri.

“Apa guna jadi Ketua Menteri Sarawak jika tidak dapat membela nasib rakyat dan negeri ini,” katanya.

Sepanjang 20 bulan menjadi Ketua Menteri, Adenan berkata beliau tidak banyak tidur kerana banyak memikirkan mahu membangunkan negeri ini.

Sepanjang tempoh itu, beliau membuat sebanyak 45 keputusan untuk negeri ini demi pembangunan dan manfaat rakyat.

Sementara itu, Adenan serta tetamu lain menyaksikan majlis serah tugas antara Pegawai Daerah Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah dan Pegawai Daerah Bukit Mabong yang baharu Douglas Pungga Lawang.

Ia simbolik pembahagian sempadan daerah setelah bahagian ini mempunyai empat daerah iaitu Song, Kapit, Bukit Mabong dan Belaga.

 

PDRM adakan pengambilan konstabel lelaki polis di beberapa lokasi bulan ini

$
0
0

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan eksesais pengambilan jawatan konstabel lelaki polis di beberapa lokasi seluruh negara bulan ini.

Di Sarawak, eksesais berkenaan akan diadakan dari 5 hingga 15 November (termasuk Sabtu dan Ahad kecuali Jumaat dan cuti umum) di Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa dan Batalian 12 PGA Sri Aman.

Pada tarikh 4 dan 5 November pula, eksesais akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, IPD Bintulu (7 November), IPD Sarikei (11-12 November) dan IPD Miri (15-17 November).

Sehubungan itu, calon-calon yang telah mendaftar melalui portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh hadir ke lokasi pada tarikh yang ditetapkan untuk menjalani ujian fizikal dengan berpakaian sukan.

Calon-calon juga diingat membawa dokumen asal dan peralatan yang diperlukan semasa menjalani ujian tersebut serta berada di lokasi ujian fizikal pada jam 7.15 pagi.

 

Bayi baharu lahir ditemui di Miri diletak bawah jagaan JKM

$
0
0

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil bayi yang baharu lahir ditemui di Permyjaya, Miri selepas pihak hospital memberi kebenaran keluar dan mengesahkan bayi berkenaan sihat.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia sememangnya prosedur apabila bayi yang baharu lahir ditemui akan dibawa ke hospital terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihak JKM.

“Berkenaan kes buang bayi yang ditemui (di Miri) tadi (semalam), dia masih di hospital untuk pemeriksaan dan apabila dibenarkan keluar dan disahkan sihat oleh doktor maka Pegawai Perlindung JKM akan membawa bayi ke rumah kanak-kanak.

“Kami biasanya menggalakkan bayi sedemikian dijadikan anak angkat kepada mereka yang berminat, namun mengikut prosedurnya iaitu menjaga anak itu sebelum diangkat secara rasmi dua tahun kemudian,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Fatimah berkata demikian mengulas laporan seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan Permyjaya, Miri awal pagi semalam.

Beliau pada masa yang sama turut menasihatkan khasnya kepada ibu bapa atau individu yang hamil luar nikah agar tidak mengambil jalan pintas membuang bayi dilahirkan bagi menutup rasa malu.

Sebaliknya, kata beliau, mereka boleh berhubung terus dengan pihak JKM atau mendapatkan khidmat nasihat serta rujukan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana badan khidmat lain.

“Malahan kita di kementerian telah mewujudkan Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) bagi mengurangkan kes buang bayi dan kita merayu agar mereka menghubungi pihak berkaitan bagi mengelak bayi dibuang.

“Buang bayi bukan sahaja satu jenayah tetapi ia memberi risiko kepada bayi itu nanti seandainya dia tidak dijumpai dalam jangka masa tertentu dan perkara seperti ini harus dielakkan,” tegasnya.

Fatimah berkata dari segi statistik buang bayi, Sarawak bukan antara negeri yang tertinggi di mana pada tahun 2014 sebanyak tiga kes dicatatkan berbanding tahun ini setakat semalam (3 November) terdapat lima kes dicatatkan.

Mengenai penubuhan Perlindungan Bayi (Baby Hatch) di Sarawak, beliau berkata ia masih dapat perbincangan sama ada perlunya tempat berkenaan di negeri ini atau sebaliknya.

Katanya ia kerana penubuhan Perlindungan Bayi mempunyai baik dan buruknya.

“Kita akan berusaha dan ia masih dalam perbincangan sama ada Sarawak ada keperluan atau tidak namun ia harus melihat apa yang dilaksanakan di Johor dan Melaka,” katanya.

 

Beberapa kawasan rendah Limbang dilanda banjir kilat

$
0
0
DINAIKI AIR: Beberapa laluan di kawasan perumahan Taman Indah di Limbang terjejas akibat hujan lebat kelmarin.

DINAIKI AIR: Beberapa laluan di kawasan perumahan Taman Indah di Limbang terjejas akibat hujan lebat kelmarin.

LIMBANG: Hujan lebat berlaku sebelah petang sehingga tengah malam di sini menyebabkan beberapa kawasan rendah dilanda banjir kilat sejak jam 2 petang hingga 12 tengah malam kelmarin.

Kejadian banjir kilat itu berikutan air naik mendadak sehingga menenggelamkan beberapa jalan dan kawasan perumahan.

Penduduk di kawasan terjejas menyifatkan keadaan bertambah buruk akibat parit tersumbat bagaimanapun keadaan kembali reda sekitar jam 7 malam kelmarin apabila air surut.

Antara kawasan terjejas termasuk perumahan Taman Indah di kawasan Sibukang.

 

APMM Miri tahan bot nelayan tempatan dengan dua kru asing

$
0
0
DITAHAN: Bot nelayan tempatan ditahan selepas dua daripada lima kru didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan tiada lesen bekerja di Miri semalam.

DITAHAN: Bot nelayan tempatan ditahan selepas dua daripada lima kru didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan tiada lesen bekerja di Miri semalam.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri menahan sebuat bot nelayan tempatan dengan dua orang kru warga negara asing yang tidak memiliki permit sah.

Ketua Penguat kuasa Maritim Miri, Laksamana Pertama Maritim Abim Sungom berkata bot bernombor pendaftaran SF3-2099 ditahan dalam ‘Ops Permai’ sekitar perairan Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima orang kru Indonesia bekerja di atas bot berkenaan dan dua daripadanya tidak mempunyai kebenaran bekerja yang sah dari Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abim berkata, bot terbabit berjaya dikesan dan ditahan pada jarak kurang 13.7 batu nautika dari Pantai Tanjong Lobang Miri.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot itu juga mendapati dua kru terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imgresen menetap di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.

Bot nelayan terbabit ditahan dan diiringi ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) untuk siasatan lanjut.

 

Viewing all 47228 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>