SIBU: Kisah seorang ibu tunggal bersama keluarganya yang terpaksa menyambut Hari Gawai Dayak dalam kegelapan yang disiarkan akhbar ini pada 1 Jun lepas mendapat perhatian daripada pihak prihatin yang meminjamkan sebuah jana kuasa elektrik kepada keluarga terbabit.
Bantuan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak mengurangkan masalah yang dihadapi oleh keluarga Nacha Payu di Rumah Joseph Jarau, Tanjung Bekakap yang terpaksa bergelap ketika malam menjelma.
Namun demikian, masalah yang dihadapi oleh mereka tidak berakhir di situ, apabila terpaksa membelanjakan RM11 untuk membeli segelen minyak petrol (empat liter) yang mampu bertahan selama dua malam sahaja.
“Kita bersyukur kerana tidak lagi perlu bergelap pada waktu malam sejak malam 1 Jun lepas. Namun pada masa sama, kita menghadapi masalah untuk membeli minyak petrol ini yang amat berat untuk kita tanggung.
“Segelen minyak petrol yang dibeli berharga RM11. Segelen minyak ini hanya mampu bertahan untuk dua malam sahaja apabila jana kuasa elektrik ini digunakan dari jam 7 malam hingga 10 malam,” ujar anak lelaki Nacha, Charlie Banyah, 38, kepada Utusan Borneo, semalam.
Nacha bersama anaknya, Charlie tinggal di rumah yang dibina dengan serba ringkas kira-kira empat tahun lepas itu bersama seorang cucu perempuannya. Pada tahun 2010, rumah terbabit telah dibaik pulih di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).
Bagaimanapun, kegagalan pihak berkenaan memasang meter elektrik menyebabkan keluarga itu terpaksa bergelap sekian lama, meskipun pendawaian elektrik dalam rumah dan dari tiang utama ke rumah telah siap dilakukan menerusi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) tahun lepas.
Dengan pendapatan tidak sampai RM1,000 sebulan sebagai pembantu jurukimpal, Charlie memberitahu kos membeli minyak petrol itu agak berat baginya.
“Oleh itu, kita berharap pihak yang berkenaan dapat membantu menyambung bekalan atau memasang meter elektrik ini dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, keluarga ini pernah menyambung bekalan elektrik dari rumah jiran berdekatan dengan dikenakan bayaran sebanyak RM20 sebulan.
Namun disebabkan penggunaan elektrik yang berlebihan, menyebabkan hampir berlaku kebakaran, sekali gus mereka memutuskan penyambungan bekalan tersebut demi keselamatan.
Charlie juga memberitahu, mereka dibenarkan untuk menyambung semula bekalan dari rumah jiran sebelum ini, namun enggan berbuat demikian kerana bimbang mengenai soal keselamatan.
“Kita bimbang berlaku kebakaran kerana jika ini berlaku, lebih banyak masalah akan wujud,” jelasnya.
Sementara, menurut Nacha, beliau difahamkan terpaksa membayar deposit sebanyak RM250 kepada pihak yang berkenaan untuk pemasangan meter elektrik tersebut.
“Saya ada dimaklumkan oleh jiran bahawa kami perlu membayar deposit sebanyak RM250 sebelum meter elektrik ini boleh dipasang.
“Namun bagi kami sekelurga, jumlah tersebut agak membebankan,” ujarnya yang juga penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).