LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antum William Nyalau Badak menggesa semua persatuan di negeri ini agar melaksanakan pelbagai aktiviti atau program bercorak kemasyarakatan dengan lebih aktif di kawasan luar bandar demi kebaikan persatuan itu sendiri.
Katanya semua persatuan perlu mengambil peluang untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dengan lebih aktif bagi membolehkan setiap ahli persatuan menimba pengalaman baharu.
“Melalui pelaksanaan program kemasyarakan ini setiap ahli persatuan akan mendapat pengalaman yang amat berharga serta membantu orang yang perlu mendapat bantuan dengan segera,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Tokong Tai Yie Japak serta Persatuan Penganut Huang Sheng Gong (PPHSG) di pekan Lubok Antu, di sini.
Pada majlis itu, Nyalau turut diberi penghormatan menyampaikan sumbangan berupa beras dan barang makanan hasil sumbangan (PPHSG) kepada seramai 19 warga tua sekitar pekan Lubok Antu.
Menurutnya, setiap ahli persatuan berkesempatan meraih pengamalan baharu terutama ketika mereka perlu berkomunikasi atau mempelajari budaya penduduk luar bandar sepanjang mengadakan program kemasyarakatan.
Sehubungan itu, Nyalau berharap lebih banyak kelab atau persatuan di negeri ini melaksanakan program seumpama itu di kawasan luar bandar demi memperolehi pengalaman yang lebih berharga pada masa akan datang.
Turut hadir pengerusi penganjur majlis Kapitan Tay Choo Meng dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.