
TERTARIK: Taib (dua kiri) meneliti buku ‘Raising Land’ yang dilancarkan oleh beliau pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 SALCRA dan Ramah-tamah Aidilfitri di BCCK, malam kelmarin. Turut kelihatan Jabu (kiri), Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani (kanan) dan Masing. — Gambar Muhd Rais Sanusi
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi kepercayaan kepada Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk mengambil alih dan membangunkan semula projek pertanian kecil yang gagal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian.
Beliau yang yakin dengan keupayaan SALCRA berkata, SALCRA merupakan organisasi terbaik untuk mengambil alih projek-projek tersebut dan membangunkannya semula kepada bentuk pertanian yang lebih baik serta menguntungkan rakyat.
“Saya mahu lihat pada masa akan datang, SALCRA membangunkan pelbagai modul pembangunan tanah dan mengambil alih sebahagian tugas yang tidak dapat dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sebelum ini disebabkan kekurangan fokus.
“Oleh sebab itu, saya percaya satu pasukan petugas perlu ditubuhkan oleh Menteri Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk mengkaji di manakah garis pemisah antara apa yang SALCRA boleh buat dan berapa banyak projek pertanian kecil yang telah dilancarkan beberapa tahun lalu tetapi gagal mengeluarkan rakyat daripada paras kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-35 SALCRA dan Ramah-tamah Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.
Taib berkata, di Sarawak salah satu masalah pembangunan tanah ialah menarik penyertaan dan penglibatan rakyat dalam skim pembangunan yang lebih teratur.
“Saya mahu perbincangan diadakan bersama SALCRA untuk melaksanakan apa yang telah saya sebutkan tadi dan melihat sama SALCRA boleh mempelbagaikan dan membangunkan sistem pengurusan yang lebih baik dalam membantu pemilik tanah kecil.
“Kalau tidak sesuai untuk penanaman kelapa sawit, SALCRA mungkin boleh menceburi penanaman getah dan bagaimana mereka boleh memproses getah dalam kaedah yang lebih sistematik pada harga yang lebih baik,” tambahnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Taib merakamkan penghargaan kepada pemimpin SALCRA atas usaha cemerlang mengatasi masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat luar bandar di bawah polisi ekonomi baharu.
Hari ini, katanya, Sarawak telah berjaya membuka lebih daripada satu juta hektar tanah sebagai estet dan transformasi ini telah memberikan persekitaran baharu kepada pembangunan tanah serta pemilik tanah adat menerusi penyertaan dalam skim estet Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Tanah.
Namun, katanya, usaha ini tidak berjalan dengan cukup pantas disebabkan banyak salah faham masih berlaku disebabkan segelintir kumpulan masyarakat yang cuba mempolitikkan usaha terbabit untuk kepentingan diri.
Justeru, beliau berpendapat Kementerian Kemajuan Tanah perlu mempergiatkan usaha untuk memastikan skim estet Bumiputera mampu menarik lebih banyak pelaburan dalam pembangunan tanah.
“Mereka yang memiliki tanah perlu diberikan kefahaman asas bahawa tanah tidak akan ada nilai kecuali dibangunkan untuk mengeluarkan sesuatu.
“Sebab itu, SALCRA menjadi satu contoh baik bagaimana mereka yang mempunyai tanah kecil boleh menikmati keuntungan yang banyak kerana mereka bersedia untuk meletakkan tanah mereka dalam satu estet yang besar di bawah pengurusan SALCRA.
“SALCRA bukan sahaja diyakini oleh peserta-pesertanya malah pengurusan kewangan yang baik serta profesional juga berjaya menyakinkan pihak perbankan untuk berurusan dengan SALCRA,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang merangkap Pengerusi SALCRA, Menteri Kanan dan Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Pengurus Besar SALCRA Datu Vasco Sabat Singkang serta yang lain.