ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mendengar serta mengambil kira pandangan semua pihak termasuk petani sebelum menggubal sesuatu dasar atau polisi yang melibatkan kepentingan golongan itu.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini bagi memastikan setiap dasar yang digubal mampu dilaksana dengan lancar serta diterima baik olehgolongan berkenaan.
“Sesuatu polisi yang melibatkan kepentingan petani perlu dibincangkan dengan mereka supaya ia sesuai dengan kehendak dan pandangan mereka, barulah dasar itudapat diterima dengan mudah,” katanya kepada pemberita selepas bertemu kira-kira 400 pemimpin dan anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta persatuannelayan negeri di sini semalam.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang pelbagai program serta projek bagi memastikan golongan petani dan nelayan dapat keluar daripada lingkaran kemiskinan.
Sehubungan itu, katanya, sebelum sesuatu program dijalankan ia perlu mengambil kira kesesuaian dan tahap penerimaan mereka terhadap kesan pelaksanaannya.
Ismail Sabri berkata, di Kedah misalnya, masalah utama yang dikenal pasti ialah kelemahan sistem pengairan mengakibatkan petani tidak dapat menjalankan proses tanaman padi dengan baik.
“Antara isu besar yang dibincangkan ialah mengapa hasil padi di Kedah masih rendah, daripada dahulu hasil padi sekitar empat atau lima tan sehektar sedangkan di tempat lain dah capai 10 tan sehektar,” katanya. — Bernama