KUCHING: Pemindahan sementara murid Sekolah Kebangsaan (SK) Semban ke SK Bengoh akan ditangguhkan dan murid-murid tahun enam juga diberi jaminan akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah asal mereka.
Ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil yang telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Padawan berhubung isu tersebut.
Justeru, Dr Jerip yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berharap keputusan tersebut akan melegakan ibu bapa para pelajar tersebut yang sebelum ini tidak bersetuju anak-anak mereka ditempatkan sementara di SK Bengoh atas sebab-sebab tertentu.
“Saya telah berbincang dengan PPD Padawan mengenai perkara ini dan mereka bersetuju untuk menangguhkan pemindahan murid-murid tersebut sehingga UPSR.
“Ini adalah perkara kecil dan boleh kita atasi menerusi perbincangan dan rundingan yang betul,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.
Sebelum ini, ibu bapa murid SK Semban sebulat suara tidak akan menghantar anak-anak mereka bersekolah jika dipindahkan sementara ke SK Bengoh.
Yang Dipertua PIBG SK Semban Florio Siel berkata keputusan tersebut adalah atas sebab-sebab yang munasabah.
“Masalah utama yang kami hadapi nanti ialah terpaksa berulang-alik berjalan kaki dari kampung pada hujung minggu untuk menjemput anak-anak dan jaraknya bukan dekat iaitu mengorbankan masa sehari bekerja,” katanya.
Masalah lain yang turut dihadapi, kata Florio, ialah perkara tersebut akan menjejaskan persediaan anak-anak mereka yang bakal menduduki UPSR pada September nanti.