KUCHING: Para peniaga di kawasan Muara Tabuan di sini memohon kerjasama pihak polis agar melakukan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan berikutan kadar jenayah dikhuatiri semakin membimbangkan.
Menurut seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Phang, pelbagai kegiatan jenayah dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini yang mana turut menggugat keselamatan penduduk setempat.
“Bukan sahaja kedai-kedai dipecah masuk, malah kenderaan yang diparkir di luar bangunan juga ada yang dirosakkan dan terdapat juga besi-besi penutup parit dicuri. Ini boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.
“Justeru kami di sini memohon kerjasama daripada pihak polis untuk lebih kerap menjalankan rondaan di sini,” katanya.
Selain itu, seorang pekerja di sebuah syarikat pengangkutan di situ turut memberitahu pihaknya telah membelanjakan lebih dari RM3,000 untuk menggantikan bateri lori yang telah dicuri sejak beberapa bulan lalu.
“Setiap hari ada sahaja yang berlaku, sebelum ini bateri lori kami sering dicuri menyebabkan kami terpaksa membelanjakan sehingga RM3,000 untuk mengantikan bateri yang hilang.
“Kami kemudian menyimpan semua bateri lori di pejabat sebelum pulang kerja, tetapi lain pula yang dilakukan mereka seperti memecahkan cermin lori dan malam tadi (kelmarin) mereka mencuri minyak semua lori kami pula,” katanya.
Sementara menurut seorang pengusaha kedai runcit, kedainya telah dipecah masuk beberapa kali sejak bulan Mei tahun ini dan terbaharu adalah pada hari Isnin lepas.
“Bermacam-macam barang telah dicuri, antaranya ialah beberapa tong gas, berpuluh-puluh kotak rokok pelbagai jenama, makanan ringan dan sebagainya.
“Kalau keadaan ini berterusan, bagaimana kami hendak berniaga?” katanya.
Menurutnya juga, laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan dia berharap agar pihak polis memandang serius perkara tersebut.