SIBU: Seorang lagi peserta Sarawak Youth Talent Discovery (SYTD) 2012 menerima sumbangan daripada Kumpulan Syarikat KTS, kelmarin.
Peserta terbabit, Adrian Soong Chan Lung menerima sumbangan sejumlah RM6,988 daripada Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan KTS, Vincent Lau Lee Ming.
Sumbangan terbabit bagi membantu Adrian mendapatkan peralatan untuk studio mininya seperti IMAC, Akai MKP49 Midi Controller dan Presonus Audio Box Studio.
Menurut Adrian yang kini menjadi guru muzik, beliau amat meminati bidang muzik dan mahu menjadikan bidang tersebut sebagai satu kerjaya.
“Saya amat meminati muzik dan berharap dapat menjadi seorang pemuzik yang berjaya suatu hari nanti.
“Impian saya untuk melahirkan sebuah album dan mahu seluruh dunia mendengarnya,” katanya di sini semalam.
Bagi mencapai impiannnya itu, Adrian berkata, beliau amat memerlukan sebuah studio rakaman mini namun tidak mampu untuk memilikinya.
Ini kerana, peralatan rakaman tersebut terlalu mahal baginya.
Sementara, menurut Lau, SYTD berperanan membantu Adrian bagi mencapai cita-citanya.
“Kita akan memberikan sokongan dan diharap dengan usaha keras, beliau boleh mencapai apa yang diinginkannya,” ujar beliau.
Ditanya kemungkinan SYTD akan dibuat semula pada masa akan datang, Lau memberitahu tidak pasti mengenainya.
“Saya tidak tahu kerana saya bukan seorang ahli jawatankuasa. Saya tahu SYTD merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 syarikat.
“Jika kita dapat membantu golongan muda mencapai cita-cita mereka, kita akan memainkan peranan kita, Saya yakin pihak syarikat akan melihat kepada perkara ini,” katanya.
Meskipun SYTD berakhir tahun lalu, Lau percaya syarikat boleh melakukan sesuatu yang sama bagi menjadi salah satu tanggungjawab sosial korporatnya.