Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Malaysia gagal membawa pulang gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia

$
0
0

GUANGZHOU: Biar apa juga alasan dan sebab mu­sabab, skripnya tetap sama dan tidak boleh diubah. Pemain Malaysia sekali lagi gagal membawa pulang gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang berakhir di sini kelmarin.

Ketika pasukan jiran tetang­ga, Indonesia dan Thailand berbangga kerana pemain masing-masing mampu men­julang kejuaraan pada kejo­hanan itu, skuad Malaysia terpaksa berpuas hati apabila Datuk Lee Chong Wei sekadar di tempat kedua dalam acara perseorangan lelaki.

Untuk rekod, pemain In­donesia muncul juara dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran manakala pemain muda Thailand, Ratchanok Intanon merangkul gelaran dunia dalam kategori perse­orangan wanita.

Kegagalan Chong Wei me­namatkan badi kekalahannya kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China pada perlawanan akhir semalam, mengulangi skrip seperti pada Kejo­hanan Badminton Dunia 2011 dan Sukan Olimpik 2012, kedua-duanya di London.

Pada ketiga-tiga pertemuan tersebut, Chong Wei gagal kepada lawan yang sama iaitu Lin Dan yang kini sudah mengecap lima kejuaraan dunia dan dua pingat emas pada te­masya Sukan Olimpik.

Pada Ke­johanan Dunia kali ini, Chong Wei ter­paksa akur kepada pemain leg­enda China itu apabila terpaksa menarik diri pada set ketiga iaitu pada kedudukan beliau ketinggalan 17-20, gara-gara mengalami kekejangan pada kedua-dua pahanya.

Permainan Chong Wei dika­takan tidak menjadi apabila pendingin hawa di Gimnasium Tianhe tiba-tiba ditutup dan keadaan panas serta tidak be­rangin itu merubah sepe­nuhnya perjalanan perlawanan.

Jurulatih perse­orangan negara, Tey Seu Bock memberi ala­san bahawa keadaan itu menyebabkan jaguh bad­minton negara itu mengalami penghidratan, malah jadual perlawanan yang terlalu ketat kepada Chong Wei juga menyebabkan lawan­nya itu memiliki kelebihan fizikal sebelum turun beraksi di pentas akhir.

Chong Wei mungkin sudah memberikan yang terbaik tetapi persoalannya, kenapa perkara itu terjadi sedang­kan beliau sudah melakukan persiapan yang cukup rapi bagi menghadapi kejohanan itu, sedangkan Lin Dan yang lebih setahun tidak meny­ertai ke­johanan kom­petitif selepas Sukan Olimpik 2012 mam­pu ber­ta­han.

Apa pun alasan atau sebab, kekuatan mental adalah antara faktor terpenting untuk berge­lar juara dunia.

Chong Wei, 30, meminta rawatan pada kedudukan 16-19 di set ketiga dan cuba men­yambung permainan, namun dia tidak mampu bergerak pada kedudukan 17-20 untuk menghadiahkan kejuaraan kel­ima buat Lin Dan yang menang 16-21, 21-13, 20-17.

Secara keseluruhannya, pencapaian pemain negara pada kejohanan itu sangat mengecewakan terutama be­regu ‘emas’ negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang tersingkir di peringkat suku akhir.

Justeru, Persatuan Badmin­ton Malaysia (BAM) perlu te­gas dengan keputusan mereka agar pasangan berkenaan dip­isahkan kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan pada kejohanan itu iaitu sekurang-kurangnya layak ke akhir.

Sebelum ini, BAM meletak sasaran kepada pasangan be­regu berkenaan untuk mara ke akhir atau bakal berdepan ‘hukuman’ dipisahkan beriku­tan prestasi mereka yang merudum sejak beberapa tahun lepas.

Malah, ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her juga harus meletak jawatan sebagai pihak bertang­gungjawab di atas ke­gagalan Koo-Tan menepa­ti sasaran fi­nal itu, selain prestasi beregu lelaki Malaysia lain pada kejohanan itu kali ini, tidak memberangsangkan.

Pasangan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong sekadar mara ke pusingan ketiga, itu pun se­lepas menewaskan rakan sen­egara, Goh V Shem-Lim Khim Wah di pusingan kedua.

Berpandukan pada keputu­san itu, jelas kredibiliti Kim Her wajar dipersoal kerana sepanjang menggalas tugas selaku ketua jurulatih beregu, tiada keputusan positif dihasil­kan termasuk terus kemarau kejuaraan kejohanan utama.

Satu lagi pasangan negara yang tidak bernaung di ba­wah BAM, Mohd Zakry La­tif-Mohd Fairuzizuan Tazari pula tersingkir pada pusingan ketiga.

Prestasi beregu wanita dan beregu campuran pula tidak ke mana apabila pencapaian terbaik mereka sekadar mara ke pusingan kedua, manakala wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita, Tee Jingn Yi terkandas pada pus­ingan pertama.

Cuma sedikit memberi hara­pan ialah dua pemain perseor­angan lelaki, Chong Wei Feng dan Liew Daren yang mampu beraksi sehingga ke pusingan ketiga sebelum ditunjuk jalan keluar pada kejohanan berk­enaan.

Dalam pada itu, BAM juga perlu mengkaji amalan mereka yang memandang rendah keupayaan pemain negara sedangkan badan induk itu mahu setiap pemain mema­sang sasaran besar pada setiap kejohanan besar termasuk Kejohanan Dunia.

Kecuali Chong Wei dan be­regu Koo-Tan, semua pemain Malaysia yang lain telah ditem­pahkan tiket penerbangan pulang awal oleh badan induk badminton negara itu.

Walaupun apa yang diram­alkan BAM memang menjadi kenyataan dan semua pemain ini gagal meneruskan kema­raan ke suku akhir, namun tindakan badan badminton tersebut menyerahkan tiket pulang awal kepada pemain sebelum mereka berlepas ke Guangzhou sedikit sebanyak menjatuhkan moral pemain.

Biarpun memang menjadi amalan BAM untuk meng­hantar semua pemain yang telah tersingkir pulang awal dalam mana-mana kejohanan yang disertai, namun juru­latih dan pemain berasakan Kejohanan Dunia sepatutnya diberi pengecualian kerana ia merupakan satu pertandingan besar.

Negara seperti Korea Se­latan, Indonesia dan Jepun difahamkan tidak menghantar pemain mereka pulang awal sekalipun sudah tersingkir daripada kejohanan kerana pemain-pemain itu akan mem­beri sokongan kepada rakan mereka yang masih berjuang.

Banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam memper­siapkan pemain negara yang benar-benar mantap yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada badminton antarabangsa.

Kini terpulang kepada presi­den BAM baharu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff un­tuk merencanakan pelan bagi membentuk pemain Malaysia bertaraf dunia dan tidak hanya bergantung kepada Chong Wei sahaja, agar mereka mampu bersaing dengan jaguh dunia lain.

Sudah sekian lama, peminat badminton tanah air dahagakan kemenangan daripada pemain Malaysia di pentas dunia dan mereka sangat merindui saat-saat itu. — Bernama

 


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>