KUCHING: Corak etnik Sarawak sering digunakan untuk mencorak baju kurung dan baju kebaya tetapi bagi Tarry Agong, beliau melihat ia lebih daripada sekadar memaparkan motif indah untuk pakaian tradisional.
Berbanding menggunakan corak etnik seperti pua kumbu, pereka fesyen ini memilih untuk memaparkan motif tatu Dayak untuk koleksi terdiri daripada baju dan gaun majlis makan malam.
“Saya menyedari bahawa motif tatu terutama kaum Dayak belum dipaparkan dalam industri fesyen kita sebagai pakaian tradisional dan pada kebiasaannya menggunakan corak etnik,” katanya kepada Borneo Post di sini, semalam.
Pereka fesyen berusia 33 tahun dari Kampung Sega, Siniawan yang belajar menjahit daripada ibunya, iaitu tukang jahit di kampung mereka berpendapat: “Jika kita hanya mempaparkan reka bentuk etnik pada baju kurung atau kebaya, corak ini boleh menjadi stereotaip dan hanya akan dipaparkan pada pakaian tradisional.”
Justeru, untuk mencipta sesuatu yang baharu bagi industri fesyen di sini, Tarry memutuskan untuk menampilkan koleksi pertama motif tatu kaum Dayak pada koleksi pertamanya sebagai permulaan beliau dalam bidang fesyen, iaitu ‘Touch by Taj’ dengan mendaftar untuk projek Sarawak Youth Talent Discovery (SYTD) KTS Group.
Sebagai salah seorang penerima SYTD, beliau menerima RM5,000 daripada KTS, yang akan digunakan untuk membeli mesin jahit, mencari peragawati serta fabrik.
“Sebaik sahaja saya membeli semua barangan diperlukan, saya akan memulakan ‘Touch by Taj’ sebagai perniagaan atas talian melalui Facebook dan pelanggan boleh membuat pesanan dengan saya mulai bulan depan,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada KTS atas bantuan diberikan.
Cek berkenaan diserahkan kepada Tarry oleh Pengurus Perhubungan Awam KTS Simon Lau, semalam.