KUCHING: Suasana bandar raya Kuching selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam masih lengang walaupun sudah ramai yang kembali untuk bekerja.
Tinjauan Utusan Borneo mendapati jalan raya tidak sesak, pusat beli-belah juga masih tidak ramai pengunjung dan sekolah-sekolah masih ditutup.
Pusat Terminal Bas di Kuching Sentral juga tidak sesibuk sebelum sambutan Hari Raya.
Pengusaha Kereta Sewa Bako-Kuching (berulang-alik), Jailani Waile, 44, ketika ditemui berkata, mata pencariannya tidak seberapa jika dibandingkan pada Hari Raya sebelumnya.
Beliau tidak mengambil cuti untuk sambutan Hari Raya kali ini sebaliknya masih turun bekerja seperti biasa.
“Sejak 20 tahun bekerja sepenuh masa sebagai pembawa kenderaan sewa, tahun ini rezeki tidak seberapa mungkin disebabkan ramai kalangan penumpang sudah mempunyai alternatif lain dan memiliki kenderaan sendiri,” katanya.
Walaupun begitu, pada waktu malamnya beliau masih berpeluang beramah mesra dan meluangkan masa bersama keluarga dan sanak-saudara di kampung halamannya di Bako.
Beliau memberitahu pemberita, terdapat pertandingan bertuntung dan menghiasi pintu gerbang sewaktu raya baru-baru ini.
“Isteri saya membuat bermacam-macam kek lapis raya, ada kek lapis madu tiga, masam manis, kek buah-buahan dan banyak lagi,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah berputus harap agar seminggu selepas raya, pendapatannya kembali kepada biasa iaitu RM160 untung bersih sehari.
Seorang pekedai kain di Lebuh India yang enggan namanya disiarkan berkata perniagaannya tidak begitu menguntungkan semalam.
Katanya lagi, beliau baharu membuka kedai semalam selepas pulang beraya bersama keluarga.
Eksekutif Pentadbiran Norhajanah Labot, 21, masih dalam ‘mood’ menyambut raya.
Beliau sudah mula bekerja semalam di salah sebuah pejabat swasta di sini berkata rindu dengan kampung halamannya di Simunjan.
“Rindu pada sanak-saudara dan adik-beradik yang pulang dari ibu kota bawa baju raya baharu, kuih-muih dan suasana kampung yang mendamaikan.
“Semuanya seronok, walaupun hilang suara pada Hari Raya kedua kerana terlalu banyak meminum minuman berkarbonat.
“Kalau boleh, masih rasanya mahu beraya tetapi terpaksa turun kerja kerana sudah habis cuti,” katanya.
Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Rahmahmawati Samsul, 19, sedih meninggalkan kampung kerana terpaksa turun untuk kuliah.
“Sedih tinggalkan kampung hari itu, ingat ada kuliah pagi tadi (semalam), tetapi ramai kawan-kawan sekuliah yang masih belum pulang, jadi ambil kesempatan ini untuk berjalan-jalan kerana kelas dibatalkan,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau teringatkan mercun, hidangan lemang, bu rasak (makanan tradisi masyarakat di Simunjan), sate, kuih-muih, keluarga dan sanak-saudara yang pulang ke kampung.
Jika berkesempatan, Rahmahwati teringin untuk menyambut Hari Raya lebih lama lagi.