DEBAK: Tradisi yang terus diamalkan oleh masyarakat di kawasan Saribas ialah ‘ringgo’ yang diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka.
Amalan yang dikaitkan dengan sesebuah majlis seperti perkahwinan, kesyukuran dan Hari Raya Aidilfitri adalah tradisi kunjung-mengunjungi oleh rakan taulan dan masyarakat setempat bertujuan memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata ‘ringgo’ menjadi keistimewaan masyarakat Saribas kerana secara tidak langsung memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk.
“Kita di Saribas bertuah kerana mempunyai budaya ‘ringgo’ yang sudah menjadi tradisi yang diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu.
“Di Debak khasnya, budaya ‘ringgo’ semasa Hari Raya dapat kita saksikan bermulanya raya pertama hingga raya ketiga yang mana orang ramai dijemput datang ke rumah mengikut kawasan pentadbiran kampung.
“Ini merupakan budaya yang tidak dapat kita lihat di kawasan-kawasan lain dan secara tidak langsung dapat memeriahkan suasana perayaan di Saribas.
“Justeru, saya berharap budaya ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini.
Tambahnya, konsep kunjung-mengunjungi semasa perayaan di sini juga perlu diteruskan demi memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaum terutama Melayu, Cina dan Dayak.
Jelasnya, perpaduan bukan sahaja dijalin antara sesama umat Islam malah lebih istimewa apabila turut disambut oleh bangsa lain apabila mereka berkunjung ke rumah masyarakat Islam.
“Dengan itu, ikatan silaturahim antara warga yang berlatar belakang agama, kaum dan budaya yang pelbagai di negara ini dapat dieratkan.
“Justeru, saya berharap penduduk berbilang kaum di negeri ini terutama di kawasan Saribas bersikap terbuka dalam menjayakan pelaksanaan amalan ringgo,” katanya.
Dalam pada itu, Razi mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat yang beragama Islam di negeri ini.
“Semoga pada hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat,” katanya.