IPOH: Makanan dan minuman adalah antara lapan ikon pelancongan bagi bandar Taiping yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Perak dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata tujuh lagi ialah Zoo Taiping & Night Safari, Muzium Perak, Taman Tasik Taiping, Taiping Bandar Warisan, Ekopelancongan Kuala Sepetang, kelip-kelip dewa dan Homestay Bukit Gantang.
“Taiping Bandar Warisan merangkumi produk-produk seperti bandar Taiping serta sejarah penubuhannya, Galeria Pertama dan pelbagai bangunan warisan yang masih kukuh dan berfungsi sehingga ke hari ini.
“Manakala hidangan yang terdapat di Taiping yang telah menarik ramai pengunjung untuk menikmatinya termasuk cendol, kuetiau Doli, mi banjir udang, Restoran Asam Pedas, Antong White Coffe, popia basah dan sebagainya,” katanya kepada Bernama, di sini.
Menurutnya dalam usaha mempromosi Taiping Bandar Warisan, Majlis Perbandaran Taiping melaksanakan pelbagai usaha untuk memulihara bangunan lama termasuk menjadikan Hotel Lagenda yang dahulu dikenali ‘rumah rehat’ dan Jabatan Kerja Raya lama 107, sebagai hotel butik. — Bernama