SIBU: Seramai 18 orang anak yatim daripada Persatuan Kebajikan Anak Yatim (PERYATIM) Sibu diraikan pada Majlis Inya Ramadan Bersama Pendeposit Korporat dan Pengedar Kereta anjuran Bank Rakyat Cawangan Sibu di sini, petang kelmarin.
Pada majlis itu, Pengurus Cawangannya Adnan Abdul Wahab turut menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim.
Selepas menyempurnakan majlis itu, Adnan turut berpeluang berbuka puasa bersama anak-anak yatim, pendepositan korporat, pengedar kereta dan media.
Terdahulu, Adnan semasa berucap memberitahu bahawa majlis itu bertujuan mengeratkan silaturahim dengan para pelanggan dan memberi semangat baharu kepada anak-anak yatim.
Menurutnya, Bank Rakyat berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seterusnya menjadi sebuah bank pilihan ramai.
Bank Rakyat Sibu kemudian menyumbangkan RM5,000 kepada Perpustakaan Bergerak Sekolah Kebangsaan (SK) Bandaran Sibu No. 3.