Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Jalan terus jadi medan maut

$
0
0

UTAMAKAN KESELAMATAN: Manyin memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal bagi menggantikan topi keledar lama pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri di Kota Samarahan, semalam. Turut kelihatan Roslan (kiri) dan Davina (kanan). — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KOTA SAMARAHAN: Sarawak mencatatkan purata kematian 1.2 orang sehari akibat kemalangan di jalan raya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, berdasarkan purata itu, kira-kira 300 rakyat negeri ini mati akibat kemalangan jalan raya dalam setahun.

Tambahnya, meskipun jumlah itu masih kecil berbanding di Semanjung Malaysia, pihaknya tidak memandang ringan usaha dalam mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan di negeri ini.

“Sebab itu, kita adakan Ops Selamat setiap kali tibanya musim perayaan kerana kita mahu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan pengguna jalan raya tentang pentingnya mematuhi peraturan serta sikap berhemah ketika di jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Stesen Petronas Kota Samarahan Expressway di sini, semalam.

Pada masa sama, Manyin mendedahkan kira-kira 65 peratus insiden kemalangan berlaku di jalan raya yang lurus dan dalam keadaan cuaca yang baik.

“Ini menunjukkan faktor utama kemalangan berlaku adalah disebabkan pengguna itu sendiri yang tidak mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Justeru, beliau mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan bagi mengelak berlakunya insiden yang tidak diingini.

“Sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung, periksa keadaan kenderaan dan pandulah dengan penuh berhemah ketika di jalan raya,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Davina Agnes Enteli dan tetamu kehormat lain.

Dalam perkembangan lain, Manyin berkata kira-kira 90 peratus kawasan di Sarawak akan dihubungkan dengan kemudahan jalan raya menjelang tahun 2020.

Manyin menyuarakan keyakinan itu ekoran sehingga kini, sebanyak 77 peratus kawasan di Sarawak sudah dihubungkan dengan kemudahan jalan raya.

“Buat masa sekarang, kita telah mencapai 77 peratus kawasan di seluruh negeri sudah diakses dengan jalan, oleh itu kita mahu memastikan menjelang 2020, 80 hingga 90 peratus kawasan di Sarawak sudah disambung dengan jalan,” katanya.

Manyin memberitahu daripada peratusan kawasan yang belum dihubungkan dengan jalan, 23 peratus daripadanya melibatkan jarak yang jauh iaitu 5,000 kilometer melibatkan kos kira-kira RM10 bilion.

“Ia adalah di Baram dan Kapit yang berada jauh antara satu sama lain. Jadi jarak keseluruhan jalan yang kita perlu bina ialah 5,000 kilometer untuk sampai ke semua kampung, rumah panjang dan penempatan di Sarawak.

“Ini adalah cabaran yang begitu tinggi bagi kita tetapi saya percaya jika wang itu sudah diberikan, kita akan melaksanakannya dan kita hanya menunggu pembiayaan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau memberitahu pihaknya juga sedang menjalankan kajian untuk mendapatkan data terperinci tentang jarak, kos dan penjajaran termasuk kampung-kampung yang belum disambung dengan jalan.

“Kita akan mendapatkan data pada hujung minggu ini, semua residen, semua pegawai daerah, semua jurutera bahagian yang menghadiri makmal akan menyediakan data terperinci itu,” jelasnya.

Selain itu, Manyin berkata, kerajaan persekutuan amat komited membangunkan kemudahan jalan raya di negeri ini terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo hingga ke Miri.

“Kita telah berbincang dengan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah (Yusof) melibatkan jalan utama iaitu Miri-Bintulu, Bintulu-Sibu, Sri Aman-Serian.

“Kita harap ia dapat dibina dalam tempoh lima tahun akan datang seperti yang disebut dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) dan kerajaan BN komited kepada manifesto ini,” ujarnya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>