Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Aidilfitri: Harga 18 barangan terkawal dipantau

$
0
0

SILA PATUH: Wan Uzir (kiri) bersama Paza (kanan) menunjukkan senarai harga yang perlu dipatuhi peniaga dan pemborong sepanjang tempoh 17 hari pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Kuching, semalam. — Gambar Kong Jun Long

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau 18 barangan terkawal yang dijual peniaga dan pemborong di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013.

Pengarah Pejabat Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sarawak (PPDNKK) Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata skim terbabit dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bermula semalam sehingga 11 Ogos ini.

“Tempoh tindakan ini telah pihak kami panjangkan kepada 17 hari berbanding 15 hari pada tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga dan Ops Harga 2013 ini, seramai 122 pegawai penguat kuasa dan 111 pegawai pemantau harga kementerian akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperolehi barangan perlu musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau,” katanya pada sidang media pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah FAMA Negeri, Paza Dan.

Antara barangan yang dikawal adalah ayam hidup, ayam standard (yang disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal), ayam super (yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga dan 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Selain itu, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), cili merah, tomato, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), kacang tanah import, bawang merah kecil (India), bawang besar import, bawang putih (China), ubi kentang import (China), ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor sekilogram).

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan untuk barangan berkenaan bagi  32 daerah di Sarawak.

“KPDNKK menentukan harga maksimum ini berdasarkan kepada maklumat harga daripada pemantauan harga di semua daerah/kawasan, pandangan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi-agensi di bawahnya serta rundingan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan tersebut,” katanya.

Peniaga digalakkan untuk menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

Sebelum ini, pengguna resah ekoran kenaikan harga ayam di Semenanjung Malaysia, bagaimanapun harga di Sarawak dikatakan stabil kerana bekalan mencukupi.

Selain itu, peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu atau RM500,000 atau di kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat.

“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal yang dijual boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau di kompaun sehingga RM5,000.

“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM20,000 atau di kompaun sehingga RM10,000,” jelas Wan Uzir.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 83 kes dicatat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 di seluruh negara sejak Ops Harga 2013 dilancarkan pada 6 Julai lalu.

Menurut beliau, 10,032 premis telah diperiksa bagi tujuan itu

“Di Sarawak, operasi yang dijalankan bermula 6 sehingga 25 Julai lalu melibatkan rampasan bernilai RM18,194.40 dan nilai kompaun sebanyak RM4,400 yang dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa terbabit.

“Tujuan operasi ini adalah bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi harga bagi mengaut keuntungan berlebihan semasa permintaan meningkat.

“Ia juga bertujuan memastikan peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>