BINTULU: Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang juga seorang peniaga di Bazar Ramadan Esplaned di sini kerugian RM8,000 apabila wang tunai berjumlah RM3,000 dan barang kemas berupa rantai emas bernilai RM5,000 yang dibawanya dirompak oleh penjenayah semasa dia hendak membuka gerainya pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Difahamkan wanita itu tidak menyedari beliau diperhatikan dan semasa leka hendak membuka gerai penjenayah muncul di hadapannya lalu bertindak merompaknya.
“Setakat ini suspek belum ditangkap dan kes itu di siasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat jika sabit kesalahan,” kata Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Madang Usat mengulas mengenai kejadian itu semalam.
Justeru, beliau menasihati orang ramai yang memakai barangan kemas dan membawa wang tunai dengan jumlah yang banyak agar berwaspada setiap masa.
“Ini merupakan satu kejadian yang dilihat sebagai membuka peluang untuk penjenayah melakukan jenayah rompakan memandangkan peluang berada di depan mata,” katanya.
Begitupun, katanya, setakat ini ia tidak ada kaitan dengan sindiket rompakan atau ragut di bahagian ini tetapi kes terbabit melibatkan kumpulan-kumpulan kecil sahaja.
“Tetapi, orang ramai perlu juga berwaspada terutamanya pada musim perayaan ini di pasar raya-pasar raya yang penuh dikunjungi orang ramai kemungkinan memberi kesempatan penjenayah melakukan jenayah berkaitan,” katanya.