SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan melaksanakan Garis Panduan Baharu Meletakkan Meja dan Kerusi di Premis Perniagaan di Kaki Lima dan Tempat Awam bermula 1 September ini.
Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata, garis panduan baharu itu dilaksanakan selepas mempertimbangkan permohonan untuk meletakkan meja dan kerusi di pusat beli-belah dan kawasan awam lain.
“Sebelum itu, pihak majlis hanya membenarkan premis perniagaan makanan untuk meletakkan tiga meja di sepanjang laluan kaki lima dengan yuran perkhidmatan RM15 per meja setiap bulan,” jelasnya.
Katanya garis panduan baharu telah menetapkan yuran perkhidmatan RM15 per meja setiap bulan dinaikkan kepada RM20 per meja setiap bulan.
“Selain itu, yuran perkhidmatan RM0.25 meter kaki per segi dikenakan kepada mereka yang meletakkan meja dan kerusi tanpa mengira masa,” ujarnya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS, kelmarin.
Tambah beliau, mereka yang ingin berbuat demikian adalah diminta menghantar lakaran susun atur meja dan kerusi yang akan diletakkan dengan maklumat dimensi.
“Adalah diingatkan bahawa peniaga tidak dibenarkan meletakkan meja dan kerusi di lot parking kereta dan jalan raya awam dan harus ada laluan untuk pejalan kaki,” katanya.
Selain itu, ujar Tiong, tiada sebarang aktiviti memasak dan mencuci di luar sempadan lot kedai dan peniaga perlu memastikan kawasan meletakkan meja dan kerusi sentiasa dalam keadaan bersih.
“Kesemua pemohonan perlu dihantar kepada Kaunter Perkhidmatan Pelanggan MPS di Tingkat 21, Wisma Sanyan. Garis panduan ini termasuk sebagai syarat pelesenan.
“MPS akan mengenakan tindakan dengan membatalkan pelesenan berkaitan sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” tambah beliau.
Hadir sama pada mesyuarat penuh ialah Timbalan Pengerusi MPS Daniel Ngieng Kiong Ann, Setiausaha MPS Hii Chang Kee, kaunselor-kaunselor MPS dan kakitangan kanan MPS.