
SELESA: Dr Gurmeet (duduk kiri) diperhatikan Ting (berdiri, empat kanan) semasa melawat Klinik Pergigian Soon Hup di SJK Thian Chin di Sibu, petang kelmarin.
SIBU: Bahagian ini mempunyai sebanyak 26 sekolah rendah mempunyai klinik pergigian, manakala 124 sekolah rendah lagi belum mempunyai klinik pergigiannya sendiri dan hanya dilawati setahun sekali bagi memberi perkhidmatan pergigian.
Pegawai Pergigian Bahagian Sibu Dr Mohammad Gurmeet Abdullah berkata, pihaknya amat memerlukan kerjasama sekolah dan penaja-penaja untuk mewujudkan klinik pergigian di sekolah.
“Dalam mewujudkan suasana kerja kondusif, staf pergigian memerlukan sebuah bilik yang lengkap agar dapat memberi perkhidmatan kepada murid-murid dengan selesa dan sempurna.
“Oleh kerana masalah kewangan kami tidak dapat menyediakan sebuah klinik gigi kepada semua sekolah di sini justeru kami amat memerlukan sokongan pelbagai pihak dan para penaja,” katanya pada Majlis Perasmian Klinik Pergigian Soon Hup di SJK Thian Chin di sini, petang kelmarin.
Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK Thian Chin Datuk Ting Ong Hua.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Muhamad Rais Abdullah dan Guru Besar SJK Thian Chin, Chieng Khing King.
Menurutnya, perkhidmatan pergigian bagi murid-murid sekolah rendah di bahagian ini terbahagi kepada dua jenis perkhidmatan iaitu Klinik Pergigian Sekolah dan Pasukan Pergigian Bergerak.
“Klinik Pergigian Sekolah merupakan klinik ditubuhkan di sesebuah sekolah dan menempatkan staf pergigian di sekolah berkenaan.
“Manakala Pasukan Pergigian Bergerak hanya melawat sesebuah sekolah setahun sekali untuk memberi perkhidmatan pergigian kepada murid-murid sekolah,” jelasnya.
Katanya, ia selaras dengan objektif Pinnacle 2020 Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sarawak meningkatkan kualiti hidup penduduk di negeri ini secara berterusan melalui penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian.
“Maka SJK Thian Chin melangkah setapak ke hadapan demi kepentingan murid-muridnya agar dapat menerima perkhidmatan pergigian secara berterusan di sekolah ini yang sebelum ini mereka hanya menerima rawatan setahun sekali.
“Kami mahu ibu bapa dan warga sekolah bekerjasama lebih rapat dengan pasukan kami untuk melancarkan segala urusan pergigian berkaitan demi menjamin kesihatan gigi anak-anak,” katanya.