Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Kereta sapu ‘bermaharajalela’ di Stesen Bas Sibu

$
0
0

KONGSI BERSAMA: Kereta sapu dan kereta sewa menjadikan Stesen Bas Sibu di Jalan Maju sebagai tempat menunggu penumpang.

SIBU: Kehadiran kereta sapu di bandar ini telah menyebabkan pengusaha bas rugi sebanyak 20 hingga 30 peratus, kata Pengerusi Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak, Lau Khing Seng.

Beliau berkata, lebih memeritkan kereta sapu menunggu penumpangnya di Stesen Bas Sibu, Jalan Maju di sini dan seolah-olah pengusaha terbabit ‘merebut’ penumpang bas yang berada di stesen bas tersebut.

“Tidak cukup dengan itu, kehadiran pengusaha kereta sapu ini turut menyesakkan laluan di stesen bas sehingga meletakkan kenderaan mereka berdekatan dengan tempat letak bas kami.

“Disebabkan itu, bas kami disaman oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) kerana meletakkan bas di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Bulan ini sahaja bas kami telah disaman sebanyak tiga kali oleh MPS. Ini kerana angkara sikap pengusaha kereta sapu yang kadang-kadang menyukarkan laluan dan tempat letak bas kami di sana.

“Sudahlah kami selama ini menanggung kerugian, ini pula kena saman dengan MPS. Kehadiran kereta sapu ini sangat banyak dan mereka menjadikan stesen bas di sini sebagai stesen mereka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Lau turut memberitahu, kehadiran kereta sewa yang berlesen turut menyesakkan laluan di situ sekali gus menyebabkan perniagaan mereka menurun.

“Ini disebabkan semuanya tertumpu di situ. Kereta sewa dan kereta sapu turut menjadikan stesen bas adalah tempat mereka menunggu penumpang.

“Justeru, kami berharap agar stesen kereta sewa ini dipindahkan ke kawasan lain sambil pihak berkenaan mengambil tindakan tegas terhadap kereta sapu,” tegasnya.

Menurut lau lagi, dengan tertumpunya pengusaha kereta sewa dan kereta sapu di Stesen Bas Sibu di Jalan Maju, ia membuatkan penumpang mereka ‘lari’ dan memilih untuk menggunakan kereta sewa atapun kereta sapu.

Menurutnya, kereta sewa dan kereta sapu tidak mempunyai jadual perjalanan yang tetap dan apabila penuh mereka akan meneruskan perjalanan.

“Ia tidak seperti bas yang mempunyai jadual untuk bergerak yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Kami tidak boleh sesuka hati mahu berjalan. Bas tidak boleh datang dan meneruskan perjalanan.

“Kami tidak sama seperti kereta sewa dan kereta sapu sesuka hati mahu bergerak. Kedua-dua kenderaan terbabit apabila cukup penumpang, mereka boleh jalan. Mungkin itulah yang menyebabkan penumpang lebih suka memilih kereta sewa atau kereta sapu.

“Ini kerana faktor kedua-dua kenderaan terbabit yang berpangkalan di Stesen Bas Sibu di Jalan Maju mengganggu operasi perniagaan kami.

“Saya mewakili pemilik syarikat bas di negeri ini, khasnya di Sibu mahu stesen kereta sewa dipindahkan ke kawasan Pasar Sentral supaya tidak mengganggu perniagaan kami. Pada masa yang sama, kami mahu pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap pengusaha kereta sapu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu tempat letak bas di stesen bas tersebut ditambahkan lagi memandangkan jumlah bas yang semakin bertambah serta mempunyai tempat menunggu penumpang memandangkan bas mempunyai jadual perjalanan yang ditetapkan oleh LPKP.

Selain itu, Lau meminta pihak yang berkenaan menyediakan pondok untuk menjual tiket-tiket bas mengikut destinasi yang ditetapkan.

“Kami sebenarnya bukan menentang kerajaan khususnya MPS. Kami memerlukan perundingan ataupun sesi dialog dengan MPS untuk menyelesaikan beberapa masalah tersebut yang dilihat mengganggu operasi perniagaan kami. Kerjasama daripada pihak MPS juga amat diperlukan untuk menyelesaikan masalah kami ini.

“Kami telah pun menulis surat rasmi kepada MPS untuk mencari jalan penyelesaian melalui sesi dialog bagi mengatasi masalah kami ini. MPS harus mendengar apa masalah kami sebenarnya dalam usaha memastikan lalu lintas di Stesen Bas Sibu di Jalan Maju berjalan lancar agar kami dapat mencari makan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau menambah, Sibu mempunyai enam buah syarikat bas yang memberikan perkhidmatan bas berhenti-henti ke beberapa destinasi di sini termasuk ke luar Sibu seperti Kanowit, Selangau, Mukah, Sarikei, Bintangor dan Julau.

“Enam syarikat bas di sini terdiri daripada Lanang Road Bus Co Berhad, Sungai Merah Bus Berhad, Teku Bus Co, City Bus, Borneo Amalgamated Co dan Renogaya Bus Co. Semuanya menghadapi masalah yang sama kerana terletak di stesen yang sama.

“Kami mohon MPS serta pihak yang berkenaan agar membantu menyelesaikan masalah kami berdasarkan peraturan-peraturan yang sedia ada kerana masalah kereta sapu ini semakin berleluasa di sini sehingga mengganggu operasi perniagaan kami,” tambahnya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>