TAWAU: Seorang lelaki meninggal dunia secara tiba-tiba sekalipun pada awalnya berjaya menyelamatkan diri daripada rentung akibat kebakaran yang memusnahkan rumah kongsi pekerja di Jalan Pitas, Bombalai di sini pagi kelmarin.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Muslimin, 55, dipercayai meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung selepas dikatakan secara tiba-tiba rebah semasa lari menyelamatkan diri ketika api mula merebak di rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzex, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 7.56 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 8.20 pagi.
“Kita berjaya mengawal situasi di lokasi kejadian pada jam 8.37 pagi dan menamatkan operasi pada jam 10 pagi,” katanya sambil menambah, insiden kebakaran terbabit melibatkan dua deretan rumah kongsi lapan pintu.
Menurutnya, dalam kes kebakaran terbabit pihaknya menggerakkan dua jentera, sebuah utiliti dengan kekuatan seramai 18 orang anggota serta sebuah lagi utiliti dari Pasukan Bomba Sukarela Merotai.
Dalam satu kes berasingan, Rudy berkata sederet rumah kongsi enam pintu di kawasan Apas Parit turut musnah dalam kebakaran pada Khamis lepas, namun tidak ada sebarang kes kecederaan ataupun kematian yang dilaporkan.
“Kita menerima panggilan pada jam 4.06 petang dan tiba di lokasi pada jam 4.32 petang sebelum dapat mengawal kebakaran pada jam 4.45 dan menamatkan operasi pada jam 5.30 petang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menggerakkan seramai 15 anggota ke lokasi terbabit dengan dilengkapi kemudahan seperti dua jentera dan sebuah utiliti untuk menjalankan kerja-kerja memadam dan mengawal kebakaran di tempat kejadian.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak bomba masih menjalankan siasatan rapi untuk mengenalpasti punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran yang berlaku di dalam kedua-dua kes berkenaan.
“Kita harap warga Tawau supaya berhati-hati terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri, dan pastikan semua perkakas elektrik dapur serta lain-lain lagi sentiasa dalam keadaan bertutup ataupun dijaga untuk mengelak sebarang musibah daripada berlaku,” katanya.