SIBU: Tiga bekas pemain badminton negara Yap Kim Hock, Cheat Soon Kit dan Rashid Sidek masing-masing tidak ketinggalan mempertaruhkan anak didik mereka pada aksi kelayakan Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters 2017 yang bermula Stadium Tertutup Sibu di sini semalam.
Kim Hock dan Soon Kit merupakan bekas pemenang pingat perak acara beregu lelaki Sukan Olimpik Atlanta 1996 manakala Rashid pemenang gangsa perseorangan lelaki temasya sama.
Dalam aski pusingan awal semalam, pasangan beregu campuran pimpinan Kim Hock iaitu Chen Tang Jie dan Tew Jia Jia telah mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menewaskan beregu Indonesia, Muhammad Hadiyat M dan Erlina Kurnianti.
Bagaimanapun, pemain negara Ian Wong berganding dengan Korepap Chasinee dari Thailand dalam aksi beregu campuran terpaksa akur kehebatan beregu Mohamad Arif Abdul Latif (Malaysia) dan Rusydina Antardayu Riodingin (Indonesia) dengan 13-21, 11-21.
Korepap bagaimanapun menewaskan pemain Indonesia, Maharani Sekar Batari dengan 21-13 dan 21-15 dalam aksi perlawanan perseorangan wanita.
Soon Kit mempertaruhkan beregu lelaki, Aaron Chia dan Tan Jinn Hwa juga mempamerkan aksi hebat apabila menang ‘straight set’ mengalahkan beregu Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki dan Didit Juang dengan 21-12, 21-13.
Pasangan Aaron dan Jin Hwa juga mengalahkan pasangan senegara dalam perlawanan kedua mereka menewaskan Zulfaiz Zulkiffli dan Zulhelmi Zulkiffli 21-8, 21-9.
Anak didik Rashid iaitu Mohamed Syazmil Idham Zainal Abidin dan Muhamad Amzzar Zainuddin tumpas kepada beregu lelaki Indonesia, Yohanes Rendy Sugiato dan Afiat Yuris Wirawan dengan 21-15, 21-18.
Kejohanan berprestij dunia itu menawarkan hadiah berjumlah USD$120,000 menyaksikan sebanyak 40 perlawanan pusingan kelayakan berlangsung semalam.
Antara negara menghantar penyertaan ialah Brunei, Sepanyol, Perancis, Hong Kong, Indonesia, India, Jepun, Korea, Afrika Selatan, Rusia, Singapura, Thailand, Chinese Taipei, Ukraine dan Amerika Syarikat (USA).