SIBU: “Kalau semasa hayat Tok Nan (Allahyarham Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) dahulu, beliau akan terus menghubungi saya, jika terbaca laporan di dalam surat khabar mengenai orang susah yang tidak mendapat bantuan daripada kementerian saya,” cerita Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau menceritakan memori itu sebagai memberi gambaran sifat keprihatinan Tok Nan terhadap golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
Fatimah berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2017 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Katanya sepanjang Allahyarham Adenan Satem memimpin negeri ini, beliau tidak mahu ada rakyat Sarawak yang terpinggir daripada menerima bantuan sekiranya mereka layak menerima bantuan.
Sehubungan itu, beliau percaya arwah Tok Nan pasti menginginkan program-program yang menjaga kepentingan kebajikan golongan kurang berkemampuan diteruskan sampai bila-bila.
“Program Sejambak Kasih sempena Tahun Baharu Cina akan memberi kebaikan kepada penerima-penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan masyarakat terutama buat masyarakat Cina.
“Ini adalah antara legasi-legasi yang menjadi peninggalan Tok Nan yang akan memberi manfaat kepada penerima-penerima bantuan bulanan kebajikan negeri Sarawak,” katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 190 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu yang terdiri daripada kaum Cina telah menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Fatimah mendedahkan, penerima bantuan Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di seluruh negeri Sarawak adalah berjumlah 7,371 orang, bersamaan dengan 12.9 peratus.
Di samping itu, beliau turut menyatakan beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh Tok Nan yang banyak memberi manfaat besar kepada pnerima bantuan JKM.
Antaranya adalah kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menambah RM50 jumlah bantuan kebajikan bagi Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Tidak Bekerja.
Jelasnya, ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Tok Nan bagi memastikan kebajikan golongan yang kurang berkemampuan terbela.
“Negeri-negeri lain tidak menerima penambahan seperti ini, hanya negeri Sarawak sahaja, kerana ini yang dimahukan oleh Ketua Menteri kita (Tok Nan),” katanya.
Selain itu katanya, kadar kenaikan yang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Tok Nan dan akan dilaksanakan mulai 2017 adalah Skim Bantuan Bencana seperti kebakaran, ribut taufan, tanah runtuh, bantuan persekolahan (mangsa bencana), bencana banjir, bantuan perlindungan (rumah) dan bencana kemarau.
Tidak di situ sahaja, kepimpinan Tok Nan juga telah bersetuju untuk memberi insentif kepada atlet paralimpik sama seperti insentif yang diberikan kepada atlet SUKMA.
Justeru, beliau berharap legasi Tok Nan yang menjaga kebajikan golongan yang memerlukan ini akan diteruskan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian insentif kepada atlet paralimpik Ten Pin Boling yang memenangi pingat emas dan perak semasa Kejohanan Ten Ping Boling yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi) Dr Annuar Rapa’ee, wakil masyarakat Cina Wong Tak Sing dan Naib Presiden Olimpik Khas Sarawak Jason Tai.