IPOH: Seorang pemandu lori tangki cedera ringan apabila kenderaan terbabit terbabas sebelum terbalik dan menghalang jalan di KM256.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Ahmad Termizi Abd Haq berkata ketika kejadian kira-kira 8 pagi, kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Taiping.
“Pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sebelum lori itu terbalik di tengah-tengah lorong,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, mangsa M. Sivabalan, 42, dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut Ahmad Termizi, kenderaan itu dialihkan di lorong kanan dan laluan tersebut ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.
Susulan kejadian itu, semua lorong terhalang dan kesesakan trafik berlaku sepanjang 12 kilometer selepas Terowong Menora menghala ke utara.
Pihak PLUS telah membuka satu laluan kontra bagi melancarkan perjalanan pengguna jalan raya yang terhenti akibat kesesakan.
Pengguna jalan raya dari selatan yang ingin ke utara memilih laluan alternatif iaitu melalui Chemor, Sungai Siput dan Kuala Kangsar sebelum memasukiPlaza Tol Kuala Kangsar. — Bernama