PBT itu tidak harus nafi hak BERSIH guna Panggung Udara sebagai lokasi perhimpunan kerana ia tempat awam
// Oleh Sandy Mark Luna //

BEBASKAN MARIA: Ann (dua kanan) bersama (dari kiri) Saifunizzam, Tang dan Murnie masing-masing memegang kad menyeru pembebasan segera Maria serta pemansuhan SOSMA.
KUCHING: Penganjur BERSIH Sarawak melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana cuba melumpuhkan perhimpunan aman pada Sabtu lepas.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa BERSIH Sarawak Ann Teo, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak seharusnya menafikan hak pihaknya untuk menggunakan Panggung Udara sebagai lokasi perhimpunan kerana kawasan itu merupakan tempat awam.
“Panggung Udara merupakan tempat awam dan bukan harta benda peribadi Dewan Bandaraya.
“Di bawah kuasa yang terletak pada Seksyen 99 (2) Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996, Dewan Bandaraya hanya mempunyai ‘kawalan am dan penjagaan’ seluruh tempat dan Seksyen 100 Ordinan itu perlu dijalan sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama, peguam-peguam daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lawyer Kamek For Change Murnie Hidayah Anuar dan Saifunnizam Sam serta jawatankuasa penganjur BERSIH Geofrey Tang.
Ann berkata, penolakan pemohonan untuk menggunakan tempat itu sebagai lokasi perhimpunan merupakan salah satu punca kekurangan peserta pada hari tersebut.
Penganjur menyasarkan 5,000 peserta namun jumlah yang hadir pada hari tersebut kurang daripada 500.
Beliau menambah, kawasan itu juga telah ditutup lebih 24 jam sebelum perhimpunan dijadual berlangsung pada 4 petang.
Bagi memperkukuhkan sekatan ke kawasan itu katanya, dua lori besar turut diletakkan di jalan masuk ke tempat letak kereta.
Ketika dipersoal oleh pihaknya katanya, jawapan diterima daripada kakitangan PBT adalah mereka menerima arahan untuk memotong pokok pada jam 4 petang.
“Kawasan itu turut dikelilingi pegawai-pegawai Bandaraya bagi memastikan para peserta (BERSIH) tidak dapat menggunakan tempat tersebut.
“Tindakan menyekat jalan masuk dan tidak membenarkan penganjur menggunakan tempat awam itu seolah-olah cuba melumpuhkan acara tersebut,” katanya.
BERSIH Sarawak turut berharap Pengerusinya Maria Chin Abdullah dibebaskan secepat mungkin apabila penahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah keterlaluan bagi Maria.
Acara nyalaan lilin sebagai solidariti untuk Maria turut diadakan jam 7.30 malam tadi sebagai sebahagian daripada kempen membebaskan Maria, selain untuk mendidik orang awam mengenai SOSMA.
“Penangkapan dan penahanan Maria adalah tidak masuk akal dan sama sekali tidak wajar.
“Kita menyeru beliau dibebaskan secepat mungkin dan menuntut kerajaan menjunjung dan menghormati hak-hak untuk berbeza pendapat di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Maria terdahulu ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibacakan bersama SOSMA.
Beliau berkata laporan polis juga telah dibuat apabila Maria ‘terseksa’ apabila dikurung dalam bilik kecil tanpa tingkap dan tanpa katil.
Katanya penahanan itu melanggar Seksyen 4 (3) SOSMA yang berbunyi: “Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya dan aktiviti politik.”
“Sehingga hari ini meskipun banyak saman difailkan terhadap BERSIH, ia merupakan organisasi yang sah dan perhimpunan diadakan juga sah,” katanya.