Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Syor semua negeri tidak keluar, perbaharui lesen pembalakan

$
0
0

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengesyorkan semua kerajaan negeri tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen pembalakan di negeri masing-masing bagi menjamin kelestarian ekosistem hutan serta alam sekitar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) baru-baru ini, beliau telah membangkitkan perkara tersebut dan mahu semua pihak menghentikan aktiviti penebangan pokok.

Katanya, buat masa ini, hanya negeri Sarawak berhenti mengeluarkan lesen, dan beri tanah untuk perladangan kecuali tanah adat.

“Kementerian mempunyai dasar, namun keputusan bergantung kepada pertimbangan kerajaan negeri sendiri. Dalam hal ini kita perlu mengambil contoh kerajaan negeri Sarawak, yang tidak memperbaharui lesen pembalakan.

“Saya berharap cadangan ini diberikan perhatian oleh semua pihak dan tidak salahnya sekiranya hutan dijaga untuk eko pelancongan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu pembalakan yang semakin tidak terkawal di hutan Gua Musang, Kelantan termasuk mengenai konflik yang timbul antara kerajaan negeri dan Orang Asli di kawasan tersebut.

Kelmarin, jambatan sementara di Pulau Setelu yang menjadi penghubung utama penduduk Gua Musang ke Jeli hampir tenggelam sepenuhnya apabila air deras bersama puluhan kayu balak yang hanyut menyebabkan aliran di jambatan tersebut tersekat.

Bagaimanapun, Wan Junaidi menegaskan kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sumber asli termasuk aktiviti pembalakan di negeri-negeri, pihaknya hanya boleh membuat kawal selia dan tidak boleh menghalang kuasa kerajaan di setiap negeri.

Mengulas lanjut mengenai konflik antara kerajaan negeri dan Orang Asli di kawasan pembalakan di Gua Musang, Wan Junaidi berkata, pihaknya pada minggu lepas telah meminta kerajaan negeri dan Jabatan Hutan Negeri menyiasat dengan profesional status tanah yang terlibat dengan aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

“Saya difahamkan kawasan tersebut telah dilesenkan untuk aktiviti pembalakan, tetapi Orang Asli masuk ke kawasan itu dan mendakwa tanah itu milik mereka.

“Orang Asli ini juga turut dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jadi dalam hal ini kita tidak tahu cerita sebenar dan siapa yang betul,” jelas Wan Junaidi.

Beliau juga berharap kerajaan negeri akan mengeluarkan surat pengesahan berhubung masalah konflik perebutan hak milik tanah serta menasihatkan Orang Asli agar tidak sesuka hati menebang pokok dan membuka ladang mereka.

Wan Junaidi berkata, dalam Laporan Audit pada tahun ini juga telah membuktikan bahawa terdapat Orang Asli yang menceroboh hutan simpan kekal di mana mereka menebang pokok sedia ada dan menanam pokok kelapa sawit dan getah.

Mengenai pencemaran najis babi di Sungai Giling di Kampung Batu Laut, Sepang, Selangor, beliau meminta kerajaan negeri untuk merawat najis dan sisa kumbahan babi dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan isu ini.

“Saya sudah minta Jabatan Alam Sekitar melakukan siasatan segera mengenai pencemaran najis babi di Selangor dan Melaka. Kita tunggu siasatan sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>