SARATOK: Masyarakat Iban harus bersedia dengan perubahan sekiranya mereka ingin identiti dan sejarah asal usul nenek moyang dan ibu bapa mereka yang telah meninggal terpelihara dan dijaga secara berkesan.
Pengerusi Saratok Memorial Hill, Datuk Amar Dunstan Endawie Enchana berkata, selain mengelakkan daripada ativiti yang tidak sihat, cara menguburkan mana-mana keluarga dan individu yang mereka sayangi dengan lebih sistematik turut melambangkan betapa mereka menghargai detik dan sumbangan si mati sepanjang hayat mereka.
“Jika kita lihat di taman-taman memorial di dalam negeri mahupun luar negara, mereka mengutamakan semua aspek bermula dari sudut landskap, keselamatan, kemudahan dan perkhidmatan pelanggan yang kesemuanya mempunyai kualiti tersendiri.
“Ia sebuah taman yang terjaga, malah ada sesetengah tempat di luar negara menjadi destanasi pelancongan keluarga terutama pada masa hujung minggu, khusus memberi peluang kepada ahli keluarga yang telah dikebumikan di kawasan tersebut mengimbas kembali kenangan mereka,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Pertama Saratok Memorial Hill di Bukit Perabun, semalam.
Taman memorial itu terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Saratok.
Tambahnya, pengurusan kawasan tanah perkuburan yang sistematik seperti yang dipergiatkan oleh masyarakat Cina melalui konsep Memorial Park mampu mengelak aktiviti yang tidak sihat seperti ‘engkubang pendam’ (penjarah kubur).
Sementara itu, wakil Residen Bahagian Betong, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak (SAO) Dr James Luing berkata, usaha itu bukan hanya memberi sentuhan kepada lokasi perkuburan yang sistematik tetapi boleh dijadikan satu tempat tarikan kepada pengunjung dari dalam atau luar.
“Lokasi ini amat strategik. Maka dengan kelebihan yang ada ini serta perancangan rapi dan tersusun daripada pemilik syarikat pengusaha, kita yakin mampu membawa satu lagi daya tarikan kepada Daerah Saratok.
“Kita harus bergerak selari dengan pemodenan terutama yang membawa kebaikan. Usaha ini pada pendapat saya bukannya bererti kita mengetepikan adat dan kepercayaan kita, tetapi usaha ini lebih membawa ke satu titik yang banyak impak positif dari kesan negatifnya,” jelas Dr James.
Turut hadir pemilik syarikat yang memajukan taman memorial Bukit Perabun, Datuk Dr Hendry Shim serta masyarakat setempat.