MIRI: Persatuan Melayu Miri (PMM) mengedarkan sebanyak 100 kampit beras kepada golongan memerlukan di empat buah kampung di sini.
Sumbangan beras lima kilo itu disampaikan oleh Yang Dipertua PMM, Datuk Wan Morshidi Tuanku Abdul Rahman kepada wakil kampung pada majlis ringkas di premis PMM di sini semalam.
Penerima ialah Kampung Pulau Melayu, Kampung Haji Wahed, Kampung Tudan Fasa Dua dan Kampung Senadin yang akan diagihkan kepada warga emas daif, balu dan ibu tunggal.
‘Ini merupakan aktiviti tahunan kita pada setiap bulan Ramadan untuk meringankan beban golongan memerlukan di sini,” jelas Wan Morshidi.
Beras berkenaan disumbangkan oleh syarikat pengedar beras, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sarawak.
Penerima yang telah dikenal pasti akan mendapat sumbangan berkenaan daripada ketua kaum mereka.
Dalam pada itu, penduduk di sini dialu-alukan menghadiri rumah terbuka Hari Raya PMM pada 18 Ogos bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari di premisnya.
Ia juga merupakan aktiviti tahunan PMM untuk meraikan bersama perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk di sini.