
KERJASAMA: Fatimah (tengah) bersama Hasidah (kiri) dan tetamu lain bergotong-royong membungkus kuih dan biskut raya di Kuching semalam.
KUCHING: Tanda penghargaan kepada anggota agensi keselamatan negeri ini sempena Hari Raya diteruskan menerusi sumbangan kuih raya kepada agensi terlibat.
Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah, sumbangan tersebut menjadi sumbangan tahunan khusus kepada anggota bertugas pada hari perayaan.
“Dengan peruntukan sebanyak RM50,000 daripada kerajaan negeri, 6,500 bungkusan kuih raya tahun ini akan diagihkan kepada anggota keselamatan terlibat juga merupakan penerima tradisi bagi program sumbangan ini.
“Ia bertujuan sebagai penghargaan terhadap khidmat bakti mereka banyak berkorban, sentiasa bersiap siaga menjalankan tugas dan kewajipan demi menjaga kedaulatan negara dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sumbangan Kuih Raya 2016 di Wisma Wanita, Jalan Bakti, di sini semalam.
Sama seperti tahun sebelum ini, sebanyak tujuh agensi terlibat termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Program seliaan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam penyediaan kuih dan biskut seperti Pergerakan Wanita PBB, Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA), Koperasi Wanita Sarawak (KOWASA), Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak, Helwa HIKMAH, Carnation Club, Dewan Usahawan Wanita Sarawak (DEWANITA) serta PERKIM Cawangan Dalat.
Tambah Fatimah, proses penyerahan sumbangan kuih dan biskut raya itu agak berlainan berbanding tahun sebelum ini di mana pemberian sumbangan akan dilakukan di tempat penerima itu sendiri.
“Bermula 20 Jun (Isnin), kita akan menyampaikan sumbangan kuih raya kepada ATM di Kem Bukavu Batu 8, diikuti PDRM dan Imigresen Simpang Tiga (22 Jun), Kompleks APMM Muara Tebas (23 Jun), Wisma Kastam (24 Jun), Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya (24 Jun) dan Penjara Puncak Borneo (27 Jun),” katanya.
Antara kuih-muih disumbangkan pada tahun ini ialah Kek Hati Parek, Serunding Daging, Biskut Oat, Biskut Rock, Biskut Nestum, Kuih Siput dan Sago Kombo.
Hadir sama ialah Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah JWKS Noriah Ahmad.