MIRI: Walaupun bulan puasa baharu sahaja masuk seminggu namun orang ramai khususnya umat Islam mulai membeli-belah untuk keperluan Hari Raya Aidilfitri mereka.
Di kompleks beli-belah di sekitar bandar raya ini, butik-butik pakaian sudah mulai mendapat perhatian pelanggan yang mahu membeli untuk membuat persiapan awal.
Pemilik Aneka Textile Ikram Azad berkata butik pakaiannya yang dibuka di tingkat bawah, kompleks beli-belah Imperial Mall di sini, sudah mulai dikunjungi orang ramai yang ingin membeli baju-baju raya.
“Ramai orang suka membuat persiapan awal kerana tidak mahu bersesak pada saat-saat akhir menjelang sambutan Hari Raya.
“Oleh sebab itu sebaik bermulanya bulan Ramadan, kami telah mengadakan jualan murah dan ternyata ia mendapat sambutan walaupun masih awal,” katanya.
Beliau menambah bagi memenuhi selera pelanggan yang pelbagai masa kini, beliau telah mendapatkan bekalan pakaian raya dalam negara terutama dari Kuala Lumpur.
Katanya, Aneka Textile turut mengimport dari Indonesia, Korea, India dan China.
Ia bukan sahaja melibatkan baju-baju raya untuk lelaki dan wanita malah pelbagai jenis aksesori yang semakin diminati oleh wanita hari ini.
“Apabila hampir menjelang Syawal, semakin bertambah jumlah pelanggan dan saya akan memastikan kami mempunyai bekalan yang mencukupi dengan harga yang berpatutan,” tambahnya.
Ditanya apakah jenis fesyen atau gaya yang diminati orang ramai ketika ini, beliau berkata di sini ia tidak berkaitan dengan jenama atau gaya.
“Apa yang disukai ialah corak tenunan, jenis kain sama ada selesa atau tidak dan pilihan warna,” katanya sambil memberitahu bahawa pelanggan butik tersebut bukan sahaja dari Miri malah sambutan hangat turut diterima daripada pengunjung dari Brunei Darussalam, yang lebih suka membeli-belah di Miri.
“Namun daripada pemerhatian saya, ketika ini pakaian dari kain chiffon serta yang ada sulaman menjadi pilihan.
“Jadi saya perlu mempelbagai pakaian yang ada sulaman, sama ada gaya klasik, moden atau kotemporari,” ujarnya.
Tinjauan Utusan Borneo juga mendapati bukan sekadar baju-baju Melayu, tetapi pakaian moden lain turut mendapat tempat di hati pelanggan.
Premis-premis menjual barangan hiasan rumah dan pinggan mangkuk turut tidak terkecuali mengadakan jualan murah bagi menarik perhatian pelanggan kerana ramai yang lebih suka membuat persiapan awal untuk rumah mereka berbanding membeli pakaian.