
BAKAL SIAP: Abdul Hakim (kiri) menerangkan kepada Wong mengenai perkembangan terkini UCTS di Sibu, semalam.
SIBU: Institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di bandar ini, Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) akan dilancarkan pada majlis prapelancarannya oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud petang ini (Isnin).
Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri semalam telah mengiringi Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh meninjau perkembangan UCTS dan memberi taklimat persiapan terakhir untuk majlis tersebut.
Menurut Wong, penubuhan UCTS adalah sebagai persediaan mewujudkan kawasan hab pendidikan di bandar ini pada masa akan datang.
“Universiti ini adalah milik rakyat Sibu, negeri dan negara secara keseluruhannya. “Pada masa akan datang ia akan menjadi sebuah universiti antarabangsa.
“Dengan Kolej Laila Taib (KLT) terletak bertentangan dengannya termasuk Sekolah Antarabangsa Woodland, tempat ini (Jalan Airport Lama Sibu) berperanan menjadi hab pendidikan pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.
Beliau memberitahu, UCTS adalah yang pertama di negara ini dilengkapi dengan kemudahan berteknologi tinggi.
Sementara itu, Abdul Hakim berkata kumpulan pertama 179 pelajar daripada empat program ijazah sarjana muda dan dua program asas diploma telah memulakan kelas pada September tahun lalu.
Program ijazah sarjana muda itu termasuk jurusan Kejuruteraan Awam, Ukur Bahan, Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Kejuruteraan manakala dua program asas diploma ialah Seni dan Sains.
“Pada masa akan datang, kami menawarkan tujuh lagi program ijazah iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Makanan, Kejuruteraan Elektrik, Seni Bina, Perakaunan, Kejuruteraan Perisian serta Sistem Komputer dan Rangkaian,” jelas beliau.
Universiti itu juga sedang mewujudkan kerjasama dengan universiti luar negara bagi program usaha sama.
Abdul Hakim berkata, fasa pertama projek itu telah siap sebanyak 90 peratus kecuali kanopinya hanya 60 peratus siap.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuan.