
BERSEMANGAT TINGGI: Frankie (kiri), Hidayat, Wan Farah, Fazira, Ezmir, Wan Faris dan Ahmad Hairul bersemangat pada sesi latihan di tempat letak kereta Stadium Sarawak, Petra Jaya.
KUCHING: Jurulatih Memanah Sarawak, Abdul Razak Yaacob mendedahkan majoriti pemanah skuad pelapis SUKMA akan turut serta pada kejohanan memanah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) Antara Bahagian di SMK Kubong, Limbang.
“Kira-kira 90 peratus daripada pemanah skuad SUKMA dan pelapis kita akan mengambil bahagian pada kejohanan tersebut,” katanya di sini.
Menurutnya, kejohanan yang akan diadakan pada 18 hingga 22 Februari ini akan menjadi medan latihan bagi pemanah muda untuk mendapat pendedahan dan pengalaman memandangkan sebilangan besar peserta akan bertanding dalam acara lima hari itu.
“Saya sendiri juga akan hadir bagi mengukur kekuatan dan kelemahan pemanah supaya langkah-langkah perlu boleh diambil untuk memperbaiki prestasi mereka,” katanya.
Mereka yang akan turut serta terdiri daripada pemanah pelapis SUKMA yang dipilih dari Kuching dan Sematan (7), Bintulu (2) dan Sarikei (1).
“Mereka dipilih semasa kem latihan di Miri Disember lalu dan berumur antara 16 hingga 18 tahun. Pemanah ini juga akan dilatih sebagai persediaan Sarawak menghadapi SUKMA 2016,” jelas jurulatih yang berpangkalan di Miri itu.
Antara yang paling muda ialah Emir Hidayat Soedirman (15) dari SMK Green Road yang memenangi dua pingat emas dan dua gangsa pada kejohanan memanah antara sekolah-sekolah Bahagian Kuching anjuran MSSS di SMK Sematan pada 16 hingga 18 Januari lalu.
Hidayat bersama-sama Jackie Then dari SMK Asajaya juga dipilih mewakili Kuching pada pertandingan memanah MSSS antara bahagian di Limbang nanti dan juga kem latihan negeri selama lima bulan di Miri.
Pemanah lain dari Kuching juga dijangka bertanding di Limbang ialah Wan Farah Aina dan Ezmir Sadriq Suhardi, kedua-dua berusia 16 tahun dari Kolej Abdillah.
Keempat pemanah terbabit giat menjalani latihan sendiri di tempat letak kereta Stadium Sarawak, Petra Jaya bersama-sama pemanah SUKMA iaitu Wan Faris Zain, Ahmad Hairul Anwar dan Fazira Desa.