KABONG: Sekumpulan tujuh kaki pancing berhadapan dengan kejadian mencemaskan apabila bot yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak kuat di Simpang Tiga Tanjung Kuali, di sini, petang Rabu lalu.
Berikutan itu, seorang penumpang bot terbabit yang dikenali sebagai Nurul Aizan Daraman, 24, telah hilang manakala enam rakannya berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tepi dengan berpaut pada bot yang terbalik.
Mangsa terselamat ialah Chee Mat, 24, Mohamad Azhar Salleh, 24, Abang Mohd Shammyl Abang Mansor, 24, Mohd Hafizul Izzani Abang Mansor, 17, Mohd Zulhelmi Bolhassan, 17, dan Aman Affendi, 31.
Mangsa hilang merupakan seorang kakitangan di Hospital Saratok.
Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, sehingga jam 4.40 petang semalam belum ada sebarang berita mengenai penemuan mangsa.
“Usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pada hari ini (Ahad) sekiranya mangsa masih belum ditemui,” jelasnya.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak petang hari kejadian oleh penduduk kampung bersama pihak polis, bomba, RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM) dan Maritim.