KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem percaya rakyat khasnya pengundi masih menyokong penuh parti meskipun berdepan dengan pelbagai masalah.
Ini terbukti menerusi kehadiran di luar jangkaan rakyat berbilang kaum khasnya pengundi dan penyokong SUPP pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP di ibu pejabat parti itu Jumaat lepas.
Jelas Riot, kehadiran tetamu pada majlis itu Jumaat lepas merupakan yang paling ramai pernah dicatatkan sepanjang 23 tahun beliau bersama SUPP sekali gus menunjukkan sokongan kuat mereka kepada parti.
“Saya tidak pernah terlepas daripada menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP dan saya sangat gembira melihat begitu ramai tetamu hadir pada hari ini yang mana ia merupakan kehadiran paling ramai pernah dicatatkan sejak 23 tahun lepas.
“Berdasarkan kehadiran yang dicatatkan ini saya yakin rakyat masih lagi menyokong parti kerana jika mereka tidak yakin dengan pucuk pimpinan sedia ada mereka tidak mungkin akan hadir bersama-sama kita hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP di ibu pejabat parti itu Jumaat lepas.
Dalam perkembangan berkaitan, Riot menasihati ahli-ahli yang lain agar tidak menggunakan media sebagai platform untuk bertelingkah dan menyalahkan antara satu sama lain ketika berhadapan dengan krisis.
“Sebagai timbalan presiden saya amat berharap agar tiada rakan-rakan parti yang menggunakan media untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Saya berharap dengan semangat Tahun Kuda, tiada siapa antara kita yang akan mengambil jalan pintas seperti ini lagi demi keutuhan parti serta membolehkan parti menawan kembali kerusi-kerusi yang hilang pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2014, Riot turut memberi ucapan selamat kepada semua rakan sama ada ahli SUPP atau tidak di seluruh negara terutama di konstituensi beliau.
Tahun ini juga buat pertama kalinya akan diadakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Serian yang akan berlangsung di Dewan Masyarakat Serian pada 8 Februari ini mulai jam 11 pagi hingga 3 petang.