Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Kerjasama diperlukan laksana inisiatif kemudahan jalur lebar

$
0
0

SERI ISKANDAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan meminta kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri untuk memulakan pembinaan infrastruktur bagi kemudahan jalur lebar supaya dapat memenuhi tuntutan kemasukan data lebih tinggi pada masa depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pembinaan infrastruktur jalur lebar seperti di laluan bawah tanah, memerlukan persediaan teliti dari aspek perundangan serta perancangan bandar dan desa.

“Sesetengah pihak berkuasa tempatan sudah meletakkan kriteria kemudahan infrastruktur jalur lebar sebagai asas utama kepada pemaju kawasan seperti pembetungan serta keperluan paip air untuk kebakaran pada masa sekarang kerana kos akan menjadi lebih mahal sekiranya ia dilakukan pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Menteri Bersama Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini malam kelmarin.

Beliau berkata kawasan seperti institusi pengajian tinggi akan diberi keutamaan dalam inisiatif pembinaan kemudahan infrastuktur jalur lebar supaya pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dapat memenuhi keperluan sebenar institusi berkenaan.

“Kami juga menghendaki semua perancangan pembinaan di institusi pengajian mesti memberikan pertimbangan yang besar dari segi kemudahan Internet termasuk kelajuan yang diperlukan, ini perlu mendapat pemahaman semua pihak,” katanya.

Ahmad Shabery berkata kerajaan sedar bahawa cabaran besar untuk meningkatkan kadar penembusan penggunaan Internet di negara ini bukan sahaja mengenaipencapaian jalur lebar yang lebih luas tetapi juga ia perlu mendapat kelajuandata yang sepatutnya.

Justeru itu, beliau berkata sasaran perlu diletakkan seperti dalam tahun 2020, isi rumah boleh mendapat kelajuan jalur lebar sehingga 50 megabit per saat, dan jika ia tidak dapat dicapai, tuntutan isi rumah untuk lebih banyak kemasukan data dengan kelajuan tertentu, tidak dapat dipenuhi pada masa depan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pencapaian penembusan Internet di negara ini pada kadar 67 peratus tidak lagi dibanggakan memandangkan ada negara di Asia seperti Korea Selatan telah mencapai 100 peratus.

Katanya petempatan penduduk yang bertebaran di seluruh negara serta teknologi sistem jalur lebar yang merangkumi kabel dasar laut dan menara telekomunikasi adalah antara cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan kadar penembusan Internet yang lebih tinggi.

Kerajaan, kata Ahmad Shabery, terus komited terhadap usaha ini terutama apabila dalam pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM5.75 juta untuk projek Fasa 2 Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB), termasuk projek kabel dasar laut dan menara penghantaran telekomunikasi. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228