KEPALA BATAS: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menyelamat dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan di Taman Bertam Indah di sini pagi semalam.
Ketua Bahagian Penguatkuasa jabatan itu Basri Othman berkata hasil maklumat awam dan risikan, pasukannya menyerbu sebuah rumah kedai di kawasan perumahan itu pada pukul 8 pagi dan menyelamatkan dua wanita berkenaan yang berusia sekitar 30-an.
Seorang wanita berusia 45 tahun yang merupakan majikan kepada mangsa turut ditahan di premis tersebut.
“Siasatan awal mendapati dua wanita Indonesia itu telah masuk ke negara ini sejak tujuh bulan lepas dan dipaksa bekerja di sebuah kedai runcit tanpa dibayar gaji.
“Mangsa mendakwa ditipu sebuah sindiket mencari kerja yang menawarkan perkerjaan di sebuah kilang di negeri ini dan sering dipukul majikannya di kedai berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Basri berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala dua wanita Indonesia itu disiasat menurut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam serbuan berasingan di Perai, pihak imigresen menahan 81 orang warga asing termasuk dua wanita China di sebuah tapak pembinaan di loji jana kuasa kitar padu.
“Hasil initipan sejak dua minggu lepas, kita menyerbu tapak pembinaan seluas 46 hektar itu pada jam 11.30 pagi ini dengan kekuatan 53 penguatkuasa imigresen dan anggota RELA.
“Seramai 38 lelaki dan dua wanita warga China, Bangladesh (31), India (8) dan dua warga Pakistan ditahan. Semua mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasikan,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ada yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan. — Bernama