
RASMI: Naroden (tiga kiri) merasmikan ICOOP Malaysia Cawangan Sarawak kelmarin sambil disaksikan oleh Ahmad (kanan) dan beberapa yang lain. — Gambar Chimon Upon
KUCHING: Ahli koperasi diingatkan supaya keluar daripada zon selesa dan melengkapkan diri dengan pengetahuan yang perlu bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing mereka.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata dalam era koperasi yang mencabar dan global masa kini, golongan tersebut harus meningkatkan diri mereka menerusi proses pembelajaran berterusan.
“Dalam konteks ekonomi global hari ini, sumber manusia kita harus berkeupayaan untuk mencapai keperluan dan kehendak trend masa kini dan atas sebab itu, adalah penting untuk kita menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya kita,” katanya.
Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata demikian pada Majlis Perasmian Promosi Program Latihan Institut Koperasi Malaysia (ICOOP Malaysia) dan Kolej Koperasi Malaysia (CCM) di sini, kelmarin.
Justeru, Naroden menyifatkan program tersebut bertepatan pada masanya di mana koperasi-koperasi di negeri ini berpeluang mengubah minda sekali gus memajukan mereka.
Menurut beliau, adalah tidak dinafikan bahawa koperasi adalah pemangkin kepada perkembangan ekonomi bukan sahaja bagi negara tetapi lebih penting kepada ekonomi rakyat luar bandar.
Bagaimanapun, katanya ini hanya dapat dicapai jika ahli koperasi dapat mengambil langkah strategik untuk mengembangkan perniagaan dengan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan dengan lebih agresif dan aktif.
“Di sinilah latihan dan pembelajaran sangat berguna untuk ahli koperasi kerana untuk mengikuti perkembangan yang begitu cepat berubah, adalah penting bagi mereka untuk bertindak pantas dan proaktif dalam merebut peluang perniagaan yang ada,” katanya.
Sehingga Jun 2013, sebanyak 864 koperasi didaftarkan di Sarawak dengan jumlah keahlian seramai 333,005 orang.
Sementara, Ketua Pengarah CCM Dr Ahmad Zahiruddin Yahya berkata pelancaran ICOOP Malaysia di Sarawak adalah untuk membolehkan koperasi dan ahli meningkatkan keupayaan dan kapasiti menerusi pembelajaran jangka panjang.
“Harapan kami adalah untuk menyumbang dengan signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sasaran kami ialah menjelang 2020, 20 peratus KDNK disumbangkan oleh pergerakan koperasi,” katanya.
Turut hadir Pengarah CCM Cawangan Sarawak Ngadi Robin dan beberapa jemputan khas.