KUCHING: Rombangan iM Sarawak dari Kuala Lumpur memuji usaha yang dibuat oleh Akademi Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA) dalam memartabatkan seni warisan budaya masyarakat Iban.
Baru-baru ini, rombongan yang diketuai oleh Raziq Shariff telah mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat SADIA di Kota Sentosa di sini untuk melihat sendiri pembelajaran seni tarian ngajat yang dianjurkan ASADIA.
Menurut Raziq, mereka tertarik untuk mengadakan kunjungan ke kelas belajar ngajat ini selepas membaca berita-berita yang disiarkan dalam akhbar Utusan Borneo mengenai aktiviti-aktiviti kelolaan ASADIA.
“Kami amat tertarik dengan berita-berita mengenai aktiviti ASADIA yang sering dikeluarkan dalam Utusan Borneo dan kami ingin melihat sendiri peserta-peserta dilatih dan sebab itu kami mengadakan kunjungan ke sini hari ini.
“Selepas melihat sendiri bagaimana kelas-kelas ini dianjurkan, kami di pihak iM Sarawak amat bangga dengan usaha ini dan berharap lebih ramai golongan muda akan menyertai kelas-kelas seperti ini,” kata Azimeer, wakil dari iM Sarawak.
Sementara itu, Presiden SADIA Sidi Munan menyambut mesra kedatangan rombongan tersebut ke kelas belajar ngajat ASADIA yang kini sudah memasuki siri ketujuh.
Beliau berharap kedatangan pihak iM Sarawak akan menarik lebih banyak penyertaan masyarakat khasnya Dayak Iban kepada aktiviti ASADIA dalam usaha memartabatkan lagi seni budaya warisan kaum Iban.
Sebagai tanda kenangan, Sidi menyampaikan buku bergambar mengenai semua aktiviti yang telah dilaksanakan ASADIA untuk dikongsikan bersama yang lain.