KUCHING: Angkara kecuaian pengguna jalan raya lain, seorang lelaki maut akibat cedera parah selepas dirempuh kereta dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Matang, malam kelmarin.
Mangsa ialah Chai Ah Onn, 45, berasal dari Batu 1 Jalan Matang, di sini.
Menurut sumber, mangsa semasa kejadian bersama anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka apabila motosikal yang ditunggangi mangsa dilanggar sebuah kereta dari arah belakang sekitar jam 9.30 malam.
Akibat pelanggaran tersebut, mangsa dan anaknya tercampak dari atas motosikal menyebabkan dua buah kereta yang datang dari arah bertentangan merempuh mangsa.
Ekoran itu, mangsa yang parah di kepala serta anggota badannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beberapa anggota paramedik juga dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengesahkan keadaan mangsa.
Sementara anak mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, sehingga berita ini ditulis semalam, pihak polis masih menjejaki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna Kelabu yang dikatakan melanggar mangsa pada mulanya dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Mayat mangsa telah dibawa ke HUS dan telah dituntut oleh keluarga mangsa untuk tujuan pengebumian.