
SIDANG MEDIA: Baru menunjukkan buku mengenai tanah NCR sementara disaksikan oleh Naib Presidennya See Chee How yang juga ADUN Batu Lintang.
Jika ditubuh ia membolehkan kes-kes tertunda dibicara dengan segera
KUCHING: Sudah tiba masanya untuk Sarawak dan Sabah mewujudkan Mahkamah Tanah Adat bagi menyelesaikan kes-kes yang telah lama tertunda, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian.
Mahkamah khas itu sekiranya ditubuhkan katanya, akan membolehkan kes-kes yang telah lama tertunda dibicarakan dengan lebih cepat.
“Hakikat Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah Sarawak (Tan Sri Datuk Seri Panglima Datuk Richard Malanjum) mengemukakan cadangan itu membuktikan beliau menyedari banyak kes berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tertangguh.
“Adalah amat bertepatan pada masanya perkara ini dibangkitkan dan diwujudkan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Richard pada Majlis Pelancaran Tahun Undang-undang Sabah dan Sarawak oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria baru-baru ini.
Menurut Richard yang dipetik sebagai berkata, cadangan mewujudkan mahkamah itu timbul berikutan peningkatan jumlah tuntutan NCR yang direkodkan di dua negeri berkenaan sejak beberapa tahun lepas.
Baru yang peguam tanah adat berkata, pihaknya mencatatkan sekurang-kurangnya 300 kes yang masih tertunda.
Justeru, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi respons terhadap cadangan itu secepat mungkin bagi membolehkan ia direalisasikan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar hakim-hakim yang telah bersara dan peguam-peguam kanan agar menganggotai mahkamah khas itu.
“Saya pernah mengemukakan usul untuk menubuhkan Tribunal Tanah pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu namun ditolak.
“Sebab itu saya amat berbesar hati apabila (Richard) berkongsi pandangan yang sama dalam menubuhkan mahkamah khas ini,” katanya yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.