LIMBANG: Masyarakat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis termasuk melaporkan sebarang kes jenayah yang berlaku di sini terutama kes pecah rumah yang kini hangat diperkatakan sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata setakat Disember lalu hingga Januari ini pihaknya hanya menerima laporan lima kes pecah rumah sekali gus menafikan berlakunya banyak kes pecah rumah seperti didakwa.
Beliau menegaskan, orang ramai perlu melaporkan kes berkenaan dengan memberi maklumat atau membuat laporan ke balai dan bukan hanya bercakap di belakang yang tidak akan membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Kami minta orang ramai agar tidak hanya bercakap di belakang tetapi tidak melaporkan kes pecah rumah kepada polis.
“Laporan berkenaan penting bagi memudahkan kami membuat rondaan dan mengetahui kehadiran penjenayah,” katanya mengulas kes pecah rumah yang hangat diperkatakan di sini.
Mohd Bukhori berkata, daripada jumlah tersebut empat kes pecah rumah dilaporkan berlaku pada Disember lalu manakala hanya satu kes pecah rumah direkodkan berlaku Januari ini.
Beliau menjelaskan, masyarakat mungkin ada alasan tersendiri enggan melaporkan kejadian berkenaan meskipun ia hanya memburukkan keadaan.
Sementara itu, beliau tidak mempunyai statistik mengaitkan kes pecah rumah dengan masalah judi siber seperti didakwa.
“Kes kecurian ini berlaku bukan sahaja sekarang tetapi sejak dahulu lagi, namun kami juga sudah melakukan tangkapan bagi pesalah judi siber dalam operasi yang dilakukan secara berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, dua individu sudah ditangkap berhubung kes pecah rumah awal bulan ini untuk membantu siasatan.
“Manakala 14 orang termasuk seorang wanita ditahan membabitkan kes narkotik dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 12 (2)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai dinasihati agar tidak melayan individu tidak dikenali yang menghantar hamper ke rumah-rumah sempena Tahun Baharu Cina ini.
Katanya, penjenayah kini menggunakan taktik menyamar sebagai tukang hantar hamper atau tukang paip dan alat pendingin hawa ke rumah-rumah sebelum melakukan kes pecah rumah.